Renang: Welson capai sasaran raih tiga pingat emas
Bernama
Mei 6, 2018 22:05 MYT
Mei 6, 2018 22:05 MYT
Kecederaan bahu kaki tidak menghalang perenang sensasi negara, Welson Sim, meraih tiga pingat emas dalam tiga acara disertai pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-61 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Pada hari terakhir kejohanan hari ini, Welson menghadiahkan pingat emas ketiganya untuk kontinjen Sarawak melalui acara 1,500, gaya bebas dengan catatan masa 16 minit 18.35 saat.
Pingat perak menjadi milik perenang Kuala Lumpur, Wong Jun Bin dengan masa 16:19.93s diikuti Wong Venn Chieh (16:39.49s) dari Sabah.
Walaupun sudah menjangkakan pingat emas dalam tangan, Welson berkata catatan masa pada acara itu agak memalukan selepas merekodkan 15:28.00s pada peringkat saringan di sebelah pagi.
"Saya ada kecederaan jadi saya tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas fizikal saya untuk aksi hari ini," katanya yang akan memulakan sesi latihan pada esok.
Beliau sebelum ini memenangi pingat emas acara 200m gaya bebas lelaki dan 400m gaya bebas.
Atlet berusia 21 tahun itu akan ke jelajah kejohanan renang Mare Nostrum di Eropah bermula Jun ini dan berharap dapat membuat catatan masa terbaik di sana.
Sementara itu, Wong Fu Kang menghadiahkan pingat emas keduanya kepada Johor apabila memenangi acara 500 kuak dada dengan masa 28.76s.
Fu Kang mengakui sebelum perlumbaan bermula, beliau banyak memikirkan untuk melakukan rekod baharu kerana ia merupakan sasarannya untuk tahun ini.
"Saya mahu lepasi semua catatan masa terbaik saya tahun ini. Bagaimanapun, tidak dapat membaiki rekod kebangsaan saya sendiri iaitu 28.59s. Saya akan beri yang terbaik untuk kesemua kejohanan yang bakal disertai," katanya yang juga akan ke jelajah Mare Nostrum.
Pingat perak acara itu diraih oleh perenang Melaka, Foong Wei Tze (29.25s) manakala Jaxter Janzen Chua (29.70s) dari Filipina meraih pingat gangsa.
Turut meraih pingat emas adalah perenang Kuala Lumpur, Keith Lim Kit Sern selepas mencatatkan 23.59s dalam acara 50m gaya bebas lelaki manakala pingat perak dan gangsa menjadi milik perenang Selangor, Chan Yang (23.72s) dan Chan Jie (23.83s).
Sepanjang empat hari kejohanan, Hong Kong menjadi penerima pingat emas terbanyak selepas mengumpul 20 pingat emas diikuti negeri Selangor dan Johor dengan masing-masing memungut tujuh dan empat pingat emas.
-- BERNAMA