Renang Terbuka Malaysia: Hoe Yean cetus peluang lebih besar tempah tiket
Astro Arena
Jun 11, 2021 05:05 MYT
Jun 11, 2021 05:05 MYT
PERENANG muda, Khiew Hoe Yean, melakar kejutan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Jumaat apabila melepasi had kelayakan kategori 'B', Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan mengungguli acara 400m gaya bebas Terbuka Malaysia menerusi catatan 3 minit 51.56 saat.
Lebih manis, dia menewaskan pemegang rekod kebangsaan, Welson Sim, yang mewakili Sarawak terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Tempat ketiga pula milik Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kejayaan itu juga bermakna bekas pemenang lapan emas Kejohanan Renang Remaja Peringkat Umur Kebangsaan pada tahun lalu tersebut memperbaharui catatan peribadi terbaiknya dengan kelebihan 1 saat.
Apa yang menarik, Hoe Yan dan Welson masing-masing melepasi had kelayakan kategori 'B' Sukan Olimpik lalu secara tidak langsung menimbulkan persoalan, siapa yang akan mengisi slot ke Tokyo bulan depan?
"Ia satu perlumbaan yang hebat. Saya sendiri memberikan 7 daripada 10 markah, ada sedikit peningkatan.
"Sudah tentu saya berhasrat ke Sukan Olimpik. Saya berpeluang dan tidak bimbang dengan persaingan kuota memandangkan jurang kemenangan saya kali ini ialah enam saat.
"Sejujurnya ia jurang yang agak besar, iaitu ketinggalan kira-kira enam meter," kata Hoe Yan.