Renang para kini di bawah PREPMA
Bernama
Jun 16, 2023 22:28 MYT
Jun 16, 2023 22:28 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah membuat keputusan untuk memindahkan tadbir urus renang para daripada Persekutuan Renang Malaysia (MAS) kepada Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) bermula semalam.
PREPMA, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penjajaran tadbir urus ini dibuat sebagai respons kepada perkembangan antarabangsa dan seruan kerajaan untuk mengkaji semula fokus pada acara renang dan bersedia untuk gabungan antarabangsa apabila persekutuan antarabangsa dibentuk menjelang akhir 2026.
"Di Malaysia, olahraga para mempunyai persatuan sendiri yang dikenali sebagai Persatuan Olahraga Para Malaysia dan sudah bersedia untuk menjadi ahli dengan Persekutuan Olahraga Para Antarabangsa baharu dalam masa terdekat.
"Renang para telah berada di bawah jagaan MAS, yang sejajar di peringkat antarabangsa dengan Persekutuan Renang Dunia (FINA), sebuah badan yang tidak dikaitkan dengan sukan renang para," menurut PREPMA.
Pendaftaran PREPMA diluluskan Pesuruhjaya Sukan pada 3 Nov tahun lalu dan ia mempunyai tujuh ahli gabungan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
Presiden PREPMA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dilaporkan berkata, penubuhan persatuan itu selaras dengan arahan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa supaya setiap negara menubuhkan persatuan kebangsaannya sendiri.
-- BERNAMA