Renang: Jinq En cipta sejarah menangi pingat emas di Monaco
Astro Arena
Jun 7, 2016 09:11 MYT
Jun 7, 2016 09:11 MYT
PERENANG negara, Phee Jinq En melakar sejarah buat Malaysia selepas memenangi pingat emas dalam acara 50m kuak dada di Jelajah Mare Nostrum di Monaco semalam.
Perenang berusia 18 tahun itu berdepan finalis Kejohanan Dunia, Marina Garcia Urzainqui dari Sepanyol, mencatatkan masa 31.66s dengan memecah rekodnya sendiri yang dicipta pada Kejohanan Piala Dunia di Dubai November lepas.
Marina melakukan catatan masa 32.51s untuk menduduki tempat kedua.
Jinq En merupakan perenang Malaysia pertama meraih pingat emas dalam saingan kejohanan di Eropah dan meraih pingat perak dalam acara 100m kuak dada dalam kejohanan yang sama pada Ahad.
“Saya tidak menjangka dengan catatan masa saya, ini merupakan perlumbaan kelima saya dalam tempoh dua hari, dan saya telah berenang dalam acara 100m dan 200m kuak dada di sebelah pagi. Sepatutnya saya sudah kehabisan tenaga," kata Jinq En selepas ditemu bual oleh sebuah akhbar tempatan.
Apa yang menggembirakan lagi buat pasukan Malaysia apabila Welson Sim juga memenangi pingat gangsa dalam acara 200m gaya bebas A, menewaskan beberapa perenang bertaraf elit.
Perenang kelahiran Sarawak itu mencatatkan 1:49.29s untuk menduduki tangga ketiga manakala pemenang pingat emas acara 200m Devon Brown hanya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat (1:49.67s).
Juara Olimpik and Komanwel Chad Le Clos dari Afrika Selatan meraih pingat perak dengan catatan 1:49.28s.
Pemegang rekod acara 200m, Paul Biedermann dari Jerman membawa pulang pingat emas dengan masa 1:46.71s.
Skuad renang negara akan menjalani dua lagi kejohanan di Canet-en-Roussillon, Perancis (8-9 Jun) dan di Barcelona, Sepanyol (11-12 Jun).