'Rematch' dengan McGregor? Mayweather hanya ketawa
Astro Awani
Julai 11, 2019 20:29 MYT
Julai 11, 2019 20:29 MYT
BEKAS juara tinju dunia Floyd Mayweather Jr hanya ketawa apabila dilontarkan mengenai idea pertarungan semula (rematch) dengan bintang seni mempertahankan diri campuran (MMA) UFC, Conor McGregor.
Memetik laporan TMZ, petinju dari Amerika Syarikat itu melabelkan kem pasukan McGregor sebagai 'sekumpulan badut sarkas' yang tidak mampu mengalahkannya.
"Budak-budak ini hanya sekumpulan badut sarkas. Mereka tidak boleh mengalahkan 'Money May'. Mereka akan terus datang ke arah saya... akhirnya, saya akan terus ketawa, terus hidup (mewah), terus pergi ke bank," katanya seperti dipetik portal tersebut.
Terdahulu, McGregor dilaporkan telah mengutarakan hasrat untuk sekali lagi mencabar Mayweather kerana dikatakan sudah tahu kesilapan yang dilakukannya pada pertarungan yang lepas.
Petarung dari Ireland itu juga yakin dapat menewaskan Mayweather jika pertarungan itu diadakan sekali lagi.
Mayweather, pada Ogos tahun lalu, berjaya menewaskan Mcgregor menerusi keputusan TKO pada pusingan kesepuluh.
Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 50-0.
Pada Januari lalu pula, dia sekali lagi membuktikan kehebatan aoabila menewaskan ‘kickboxer’ Jepun, Tenshin Nasukawa dalam satu perlawanan pertunjukan di Tokyo, Jepun.
#bekas juara tinju dunia
#bintang MMA
#circus clowns
#Conor McGregor
#Floyd Mayweather
#Floyd Mayweather Jr
#MMA
#Money May
#Tenshin Nasukawa
#UFC