Remaja Asia: Khai Xing-Aaron gagal akhiri kemarau tujuh tahun Malaysia

Bernama
Julai 7, 2024 19:16 MYT
Meskipun berada di kedudukan nombor satu dunia dalam kategori remaja, Khai Xing-Aaron dikejutkan pasangan pilihan kelima itu, dengan 13-21, 11-21. - Foto FB BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Kang Khai Xing-Aaron Tai gagal mengakhiri kemarau kejuaraan selama tujuh tahun Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Asia apabila tewas kepada pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.
Meskipun berada di kedudukan nombor satu dunia dalam kategori remaja, Khai Xing-Aaron dikejutkan pasangan pilihan kelima itu, 13-21, 11-21 dalam masa 33 minit pada perlawanan akhir di Dewan Sukan Among Rogo di Yogyakarta, Indonesia.
Ini adalah kekalahan pertama mereka dalam tiga pertemuan menentang Ke Yuan-Xiang Yi.
Pada aksi separuh akhir semalam, Khai Xing-Aaron menewaskan Hung Ming Chen-Cheng Han Tsai dari Taiwan manakala gandingan China berkenaan menewaskan rakan senegara mereka Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.
Khai Xing-Aaron merupakan wakil tunggal negara di final, manakala pemain perseorangan wanita Siti Zulaikha Muhammad Azmi dan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting pulang dengan pingat gangsa selain gangsa bagi acara berpasukan campuran.
Berada di ranking ke-83 dunia, Khai Xing-Aaron yang merangkul kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Remaja Belanda dan Cabaran Antarabangsa Remaja Thailand tahun ini adalah gandingan pertama negara mara ke peringkat akhir sejak penampilan Yew Hong Kheng-Ow Yao Han pada 2010.
Pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao menjadi pemain Malaysia terakhir merangkul kejuaraan remaja Asia pada 2017 manakala pasangan beregu lelaki terakhir muncul juara ialah Mak Hee Chun-Teo Kok Siang pada 2008.
-- BERNAMA
#beregu lelaki negara #Kang Khai Xing-Aaron Tai #Kejohanan Badminton Remaja Asia #tewas kepada pasangan China
;