Remaja 18 tahun lebur rekod Watson Nyambek

Astro Arena
November 24, 2015 11:02 MYT
Selama 17 tahun, Watson Nyambek memegang rekod lari pecut 100m terpantas, 10.30 saat, yang diciptanya di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1998.
Badrul Hisham Abdul Manap meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 100m yang dipegang bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek selama 17 tahun, pada hari pertama Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei pada Isnin.
Atlet kelahiran Melaka berusia 18 tahun itu yang merupakan juara bertahan acara berkenaan, mencatat masa 10.29 saat bagi memadamkan rekod Watson 10.30 saat yang dicipta di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1998.
Seorang lagi atlet negara, Asnawi Hashim di tempat kedua dengan catatan 10.71s, diikuti Worawutsalabal dari Thailand dengan masa 10.87s dalam acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Tutong, demikian menurut laman sesawang rasmi kejohanan, asg7.moe.gov.bn.
BACA: Badrul mampu muncul raja pecut dunia - Watson Nyambek
Dalam pada itu, kontinjen negara menambah dua lagi pingat emas dalam sukan olahraga, masing-masing menerusi Muhammad Adil Taufek dalam acara lontar peluru lelaki dan Quek Lee Yong dalam acara 400m lari berhalangan lelaki.
Muhammad Adil meraih emas selepas melakukan lontaran sejauh 15.21 meter manakala Quek mencatat masa 52.18 saat.
Terdahulu, Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara renang, sekali gus menyaksikan kontinjen negara kini berada di kedudukan kedua di belakang Indonesia, dengan kutipan lima pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.
Indonesia mengungguli hari pertama dengan pungutan tujuh emas, enam perak dan satu gangsa manakala Vietnam di tangga ketiga dengan kutipan empat emas, satu perak dan tiga gangsa.
Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara keseluruhan kejohanan sukan tahunan berkenaan pada 2010 yang diadakan di sini, serta pada tahun lepas di Filipina.
#Asnawi Hashim #Badrul Hisham Abdul Manap #Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN #lari pecut 100m #Watson Nyambek
;