Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan FC lebur di tangan KL City

Bernama
Ogos 18, 2022 00:29 MYT
Rekod lapan kali berturut-turut tanpa kalah di tempat lawan Negeri Sembilan FC lebur selepas tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. - Facebook KL City FC
KUALA LUMPUR: Rekod lapan kali berturut-turut tanpa kalah di tempat lawan Negeri Sembilan FC lebur hari ini selepas tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.
Saingan Liga Super yang seimbang pada separuh masa pertama akhirnya berpihak kepada tuan rumah selepas ketua pasukan Paolo Josue menyempurnakan hantaran hasil sepakan sudut Zhafri Yahya dalam masa kecederaan.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Hobin Jang Hobin memperkemaskan corak permainan untuk memburu gol penyamaan bagaimanapun gagal berbuat demikian selepas barisan pertahanan skuad warga kota menampilkan disiplin tinggi menyerap segala tekanan dari pelawat sepanjang babak kedua berlangsung.
Percubaan terbaik Negeri Sembilan hadir pada minit ke-68 menerusi sepakan percuma diambil pemain gantian, Matheus Alves Leandro, namun sedikit tersasar di sebelah kanan gawang KL City.
Kemenangan dilakar KL City pastinya melegakan skuad bimbingan Bojan Hodak selepas mereka dibelasah 0-5 oleh juara bertahanJohor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 Ogos lepas.
Kekalahan Negeri Sembilan tidak menjejaskan kedudukan di tangga ketiga liga dengan 32 mata manakala KL City dengan 21 mata untuk berada di tangga keenam.
Sementara itu, pasukan tercorot liga, Penang FC terus dirundung malang selepas tewas enam perlawanan berturut-turut musim ini, kali ini kepada Sri Pahang FC, 2-3, pada saingan di Stadium Bandaraya, Georgetown.
Pasukan dari Pantai Timur terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import Andres Steven Rodriguez Ossa pada minit ke-44 sebelum Rafael Vitor Santos menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.
Sri Pahang kembali berada di depan selepas Ossa meledak jaringan kedua peribadinya pada minit ke-74 disusuli jaringan David William Rowley untuk melebarkan kedudukan buat pelawat selang enam minit kemudian.
Penyerang dari Brazil, Lucas Epindola Da Silva cuba menyalakan api kebangkitan Penang FC menerusi jaringan pada minit ke-85 namun ia terlambat bagi mereka untuk sekurang-kurangnya mencari satu mata dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.
Selepas mengharungi 16 perlawanan, Sri Pahang berada di tangga kelima dengan 21 mata dan Penang pula terperosok di tangga terbawah dengan tujuh mata.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan FC #KL City FC #Kuala Lumpur #rekod tanpa kalah #Liga Super
;