Rekod kebangsaan 100m Zaidatul telah diiktiraf WA - KOM

Bernama
Januari 17, 2025 14:30 MYT
Pada 12 Okt lepas, Zaidatul Husniah, berjaya memadam rekod 100m wanita kebangsaan milik G. Shanti, iaitu 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Catatan rekod kebangsaan 11.49 saat (s) bagi acara 100 meter (m) wanita dilakukan ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli akhirnya diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA), semalam.
Perkara itu disahkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam hantaran menerusi Facebook rasminya.
"Rekod emas yang dilakar Zaidatul Husniah dengan catatan 11.49s dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis diiktiraf oleh WA," menurut KOM.
Semakan di laman sesawang WA juga menunjukkan catatan masa itu, yang sebelum ini tidak dikira sebagai catatan rasmi untuk mata ranking dunia, kini telah diiktiraf.
Pada 12 Okt lepas, Zaidatul Husniah, berjaya memadam rekod 100m wanita kebangsaan milik G. Shanti, iaitu 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993, hanya beberapa bulan sebelum Zaidatul Husniah dilahirkan pada 20 Ogos.
Namun, catatan 11.49s oleh atlet berusia 31 tahun itu, sebelum ini dilaporkan tidak diiktiraf oleh WA kerana ketiadaan dokumen berkaitan bacaan angin.
KOM berjanji untuk menyelesaikan isu itu dengan menghantar semua dokumen berkaitan kepada badan induk olahraga dunia itu.
-- BERNAMA
#Kesatuan Olahraga Malaysia #Zaidatul Husniah Zulkifli #olahraga dunia
;