Regu takraw cipta satu lagi aib

Bernama
Disember 18, 2013 23:00 MYT
Regu takraw terus mencipta aib pada Sukan SEA ke-27 apabila tersingkir dalam pemburuan pingat acara double lelaki berpasukan di Stadium Wunna Theikdi Rabu.
Anak buah Jamaluddin Hassan itu tewas 2-1 kepada Indonesia dalam aksi kumpulan B, sekali gus gagal layak ke separuh akhir. Semalam, Malaysia tumpas 3-0 kepada Myanmar.
Gandingan regu pertama Malaysia dibarisi Ahmad Aizat Mohd Nur Azmi-Izurin Refin bermula garang apabila menewaskan pasangan Indonesia, Norfisal Norfisal-Yudi Purnomo 22-20, 21-15.
Ketika harapan diletakkan kepada Farhan Adam dan Mohd Hanafiah Dolah untuk menamatkan saingan tersebut, mereka gagal menyempurnakannya apabila tumpas 16-21, 14-21 kepada regu Indonesia, Saiful Rijal-Samsul Hadi.
Aksi perlawanan ketiga penuh debar namun gandingan Malaysia terpaksa akur apabila tumpas dalam pertarungan yang berlarutan sehingga set ketiga.
Pasangan Mohd Muqlis Borhan-Amirul Zazwan Amir kalah 17-21 kepada pasangan Indonesia, Hendra Pago-Husni Uba pada set pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 21-17 pada set kedua.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tumpas 17-21 pada set penentuan.
Amirul Zazwan ketika ditemui pemberita mengakui mereka sering melakukan kesilapan sehingga memberi mata mudah kepada pasangan Indonesia itu.
Malaysia akan menutup saingan kumpulan B menentang Laos, hari ini.
#regu #Sukan SEA #takraw