Reece hilang medal kemenangan UCL, Euro selepas rumah dipecah masuk
Astro Arena
September 17, 2021 09:12 MYT
September 17, 2021 09:12 MYT
PEMAIN pertahanan Chelsea dan England, Reece James, mendedahkan pingat Liga Juara-Juara (UCL) dan naib juara Euro 2020 telah dicuri di kediamannya.
Kejadian itu berlaku ketika pemain berusia 21 tahun tersebut beraksi bersama The Blues dalam kemenangan 1-0 UCL ke atas Zenit, kelmarin.
James memainkan peranan penuh dalam kejayaan Chelsea ke atas Manchester City dalam pertembungan final musim lalu dan sekali lagi diberi kepercayaan ketika bersama England dalam final Euro 2020 yang menyaksikan mereka tewas kepada Itali.
Dia mendedahkan kejadian pecah masuk itu di media sosial semalam bagi meminta pertolongan dalam usaha mencari pelakunya yang melarikan peti keselamatannya yang turut mengandungi medal Piala Super.
"Pingat ini dimenangi ketika saya mewakili Chelsea dan England -- ia adalah penghargaan yang tidak akan dapat dirampas daripada saya sama ada saya memiliki medal bagi membuktikannya," katanya yang turut menyiarkan empat rakaman litar tertutup tentang kejadian itu.
"Begitupun, saya memohon kepada semua peminat Chelsea dan England agar dapat membantu mengenal pasti dan menyerahkan individu-individu ini yang pasti tidak akan senang duduk kerana bukti terhadap mereka semakin meningkat.
"Polis, penasihat saya dan Chelsea FC (dan banyak lagi) semuanya berada di belakang saya kerana kami mempunyai petunjuk mengenai siapa pelakunya. Kami akan memburu mereka.
"Nasib baik, tiada siapa ketika rumah saya diceroboh tetapi saya ingin memberitahu anda semua bahawa saya selamat dan sihat.
"Saya sangat menghargai mempunyai pelantar untuk memberitahu anda semua tentang musibah ini dan saya harap kita dapat bersama-sama menangkap individu-individu ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan."
Produk akademi itu kerap tampil untuk Chelsea selama dua musim terakhir dan telah membuat empat penampilan dalam kempen musim ini di bawah kendalian Thomas Tuchel.