The Reds berpesta gol, kini pungut 13 mata

Astro Arena
September 25, 2016 09:59 MYT
Daniel Sturridge dari Liverpool cuba membebaskan diri dari dihalang barisan pertahanan Hull City. - Foto AFP
SKUAD The Kops membuktikan kredibiliti mereka sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas membenam Hull City yang bermain dengan 10 pemain 5-1 di Anfield, semalam.
The Reds kini telah memungut 13 mata daripada enam perlawanan hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kalah.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila Adam Lallana menyempurnakan hantaran Phillipe Coutinho untuk gol pembukaan Liverpool pada minit ketujuh.
Hull City terpaksa beraksi tanpa seorang pemain apabila El Mohammady menampan bola secara sengaja dalam kotak penalti. James Milner bertanggungjawab untuk menyudahkan sepakan penalti untuk gol kedua Liverpool pada minit ke-30.
Sadio Mane muncul sebagai penjaring gol ketiga Liverpool pada minit ke-36.
Bersambung di babak kedua perlawanan, Hull City akhirnya berjaya menembusi barisan pertahanan Liverpool, David Meyler mengurangkan defisit jaringan gol pada minit ke-51.
Liverpool terus bangkit pada minit seterusnya apabila Lallana berjaya melakukan hantaran mencari Coutinho untuk meledak gol keempat The Reds.
Skuad kendalian Jurgen Klopp dihadiakan sepakan penalti kedua dan Milner memastikan kemenangan selesa 5-1 buat Liverpool.
#berita bola sepak #EPL #Hull City #Liverpool #The Reds
;