The Red Warriors terima 'Duit Raya' RM600,000
Bernama
Ogos 5, 2013 14:37 MYT
Ogos 5, 2013 14:37 MYT
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengagihkan 'duit' raya' berjumlah RM600,000 kepada skuad The Red Warriors kerana mengekalkan kejuaraan Piala FA kali kedua berturut-turut selain mengesahkan tempat pada saingan Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) musim hadapan.
Presiden Kafa yang digantung, Tan Sri Annuar Musa berkata bonus itu sebagai penghargaan kepada barisan pemain yang bertungkus-lumus mengekalkan kejuaraan itu, sekali gus menaikkan nama pasukan sebagai antara yang digeruni di negara ini.
"Jumlah itu adalah yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan Kafa kepada pemain selepas kita menolak perbelanjaan pengurusan untuk perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.
"Seramai 14 pemain menerima bonus RM30,000 seorang yang berjumlah RM420,000 manakala bakinya sebagai token kepada anggota pasukan yang tidak beraksi serta pegawai yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar The Red Warriors bersama pengamal media di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden Kafa Datuk Affandi Hamzah, Naib Presiden Datuk Ismail Mohd Nor, Setiausaha Agung Azman Ibrahim dan barisan jurulatih yang diketuai Bojan Hodak.
Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh turut melahirkan rasa lega kerana agihan bonus itu dapat dilunaskan sebelum sambutan Aidilfitri bagi membolehkan pemain membuat persiapan menyambut hari lebaran.
"Saya berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dapat melunaskan pembayaran dan membolehkan Kafa mengagihkannya sebelum sambutan Aidilfitri.
"Saya juga ingatkan pemain supaya tidak boros berbelanja dan berjimat cermat bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin pada masa depan," katanya.