The Red Warriors masih bernyawa musim 2016
Astro Arena
Oktober 16, 2015 18:00 MYT
Oktober 16, 2015 18:00 MYT
Pasukan Kelantan akan kekal sebagai pencabar kuat dalam Liga Malaysia musim depan berdasarkan bayangan yang cuba disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Walaupun dihimpit masalah kewangan musim ini, namun Annuar Musa memuatkan naik entri di Facebook mengenai status kontrak para pemain skuad itu, di mana majoriti pemain masih terikat dengan perjanjian bersama KAFA.
"Separuh dari skuad sekarang masih kekal mempunyai kontrak utk musim hadapan.
"Mereka yg bakal tamat kontrak tapi berprestasi baik sudah diberi tawaran menyambung kontrak.
"Sementara itu beberapa pemain muda pelapis telah menandatangani kontrak utk musim hadapan.
"KAFA sedang meneliti posisi kritikal yg bakal diisi oleh pemain import dan tempatan. KAFA juga sedang berusaha mengurangkan kos dan bajet kepada satu jumlah yang sesuai dengan kemampuan sahaja," katanya sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin atas bantuan yang dihulurkan kepada bola sepak tempatan.
Dalam pada masa yang sama, Annuar Musa turut berkongsi perkembangan mengenai tahap kecederaan Brendan Gan. Pemain tengah itu tersisih sejak awal musim akibat kecederaan lutut yang serius namun sudah turun menjalani latihan pasukan.
Beliau menekankan enggan terburu-buru menggunakan khidmat Brendan dalam saingan Piala Malaysia 2015 kerana sentuhannya lebih diperlukan bagi kempen akan datang.