Red Star Belgrade rancang buka akademi di Malaysia
Astro Arena
Mei 7, 2021 15:11 MYT
Mei 7, 2021 15:11 MYT
GERGASI bola sepak Serbia, FK Crvena Zvezda, juga dikenali sebagai Red Star Belgrade menandatangani perjanjian awal untuk membuka akademi bola sepak di Malaysia.
Juara SuperLiga dari Serbia itu mengumumkan kesepakatan itu semalam dengan kehadiran Presiden kelab itu, Svetozar Mijailovic, bersama Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade, Amin Dalek.
"Matlamat kerjasama ini adalah untuk kanak-kanak berbakat dari Malaysia mengembangkan kemahiran bola sepak mereka di akademi ini selain menjadikan kelab ini lebih dikenali walaupun di luar Eropah," menurut satu kenyataan kelab itu.
Amin kagum dengan bentuk perkongsian itu dalam usaha membantu pemain muda di rantau Asia Tenggara mendapatkan akses ke program pembangunan kelab berkenaan.
"Saya berusaha membawa akademi bola sepak Zvezda ke Malaysia. (Kosnya) untuk datang ke Serbia dari Malaysia atau Asia Tenggara adalah mahal selain halangan untuk mendapatkan visa.
"Jadi saya akan membawa akademi ini ke Malaysia supaya anak-anak di rantau ini dapat berlatih di sana," kata Amin.
Akademi bola sepak akan menjadi penghubung kedua kelab itu ke Malaysia memandangkan pemain muda, Omar Raiyan Kama Azlan, ketika ini mewakili skuad B-17 mereka.
#Red Star Belgrade
#Gergasi bola sepak Serbia
#kademi bola sepak
#Malaysia
#SuperLiga
#Serbia
#bola sepak
#Amin Dalek
#Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade