Rebut kesebelasan utama, Safwan akui 'bergelut' saingi pemain senior

Bernama
Jun 3, 2024 11:00 MYT
Sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Ahad disertai 24 pemain. - Foto Facebook/FAM
PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Safwan Mazlan mengakui bukan mudah menyaingi kehebatan pemain senior dalam usahanya menembusi kesebelasan utama Harimau Malaya menjelang baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan ini.
Safwan yang dipanggil buat kali kedua menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan berkata beliau bagaimanapun akan tetap membuktikan kemampuannya pada sesi latihan bagi menambat hati ketua jurulatih Kim Pan Gon, agar dapat diberi peluang beraksi di padang.
"Amat mencabar (menyaingi pemain senior) kerana saya pemain muda, bagaimanapun, saya perlu lebih kerja keras untuk dapat tempat dalam skuad utama," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Pemain Terengganu FC itu pada masa sama berkata intensiti latihan bersama pasukan senior lebih tinggi berbanding bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebelum ini.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu, setakat ini beliau tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan aspek taktikal direncanakan Pan Gon kerana tidak banyak berbeza dengan pengalaman dilalui bersama jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido, sebelum ini.
Selepas empat perlawanan, Malaysia yang berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun sebelum bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada 11 Jun.
Kyrgyzstan kini menerajui saingan Kumpulan D diikuti Oman di tempat kedua dengan masing-masing mengumpul sembilan mata manakala Taiwan pula tercorot tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#Safwan Mazlan #pemain senior #harimau Malaya #Kelayakan Piala Dunia 2026 Piala Asia 2027
;