Rebut kejuaraan UFC, Zhang mahu buktikan wanita Asia juga kuat
Haider Yutim
Ogos 30, 2019 18:36 MYT
Ogos 30, 2019 18:36 MYT
ZHANG Weili mahu membuktikan bahawa orang Asia juga hebat dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) dengan memenangi kejuaraan dunia UFC, di Shenzhen, Sabtu ini.
Petarung dari China itu bakal berdepan juara strawweight wanita UFC, Jessica Andrade dalam acara UFC Fight Night 157.
Dalam temubual ringkas bersama Astro AWANI, Zhang, 30 tahun berkata dia ingin memecah tanggapan bahawa orang Asia terutama kaum wanitanya lemah.
“Terdapat ‘stereotype’ di seluruh dunia yang mengatakan orang Asia, terutama sekali wanita Asia adalah lemah.
“Jika saya boleh memenangi tali pinggang kejuaraan ini, saya rasa ini boleh menjadi bukti yang kukuh bahawa kami juga mampu mempamerkan kekuatan dan skil yang hebat dalam MMA,” katanya kepada Astro AWANI.
Zhang, yang memegang rekod 19 kemenangan berturut-turut, yakin akan mencapai kemenangannya yang ke-20 pada perlawanan itu nanti.
Mengulas mengenai perlawanannya tersebut, Zhang berkata dia ingin menamatkan pertarungan secepat mungkin.
“Saya tidak pernah mengjangkakan perlawanan yang panjang, saya akan rebut segala peluang yang ada untuk menjatuhkan dan menewaskan lawan saya secepat mungkin,” katanya.
Ini merupakan kali pertama atlet dari China bersaing dalam perlawanan merebut kejuaraan dunia UFC.
Jika kemenangan memihak kepada Zhang, dia akan menjadi petarung yang pertama dari China dan juga Asia untuk bergelar sebagai juara dunia UFC.
Pesaingnya, Andrade, berjaya merampas gelaran strawweight wanita selepas menundukkan juara bertahan, Rose Namajunas dalam aksi UFC 237 di Rio de Janeiro, pada 12 Mei lalu.
Andrade, 27 tahun, dari Brazil menumpaskan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi ‘knockout’ pada minit 2.58 pusingan kedua.
#China
#Jessica Andrade
#kejuaraan dunia
#UFC
#UFC Fight Night
#UFC Shenzhen
#UFC strawweight championship
#wanita Asia
#Zhang Weili