Real Madrid: Zaman baru bakal bermula
Astro Arena
Mei 20, 2021 08:59 MYT
Mei 20, 2021 08:59 MYT
TATKALA segala perhatian tertumpu kepada pasukan manakah yang bakal menjulang trofi juara LaLiga, mungkinkah kita bakal menyaksikan aksi terakhir bintang Real Madrid sebelum tibanya zaman baru?
Masa depan Sergio Ramos, Raphael Varane, Marcelo, dan Isco bersama Los Blancos kelihatan samar-samar manakala jurulatih Zinedine Zidane sudahpun mengucapkan selamat tinggal sekali lagi.
Kapten Real Madrid, Ramos, pastinya kehilangan terbesar di antara semua -- selepas 16 tahun menabur bakti, kontraknya bakal berakhir penghujung Jun ini.
Berdasarkan laporan akhbar Marca, Ramos berniat untuk menandatangani sambungan kontrak selama dua tahun, sekali gus mengakhiri kerjayanya bersama kelab tersebut.
Malang sekali, presiden kelab, Florentino Perez, nampaknya hanya berminat untuk menawarkan kontrak setahun, kemungkinan besar atas faktor usia Ramos yang sudah lanjut.
Hairannya adakah begitu sukar untuk memberikan hadiah terakhir buat pemain yang meraih pingat pemenang Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali ini?
Berbeza pula ceritanya dengan Varane yang berada di puncak kerjayanya ketika ini, di mana pemain pertahanan tengah itu disebut-sebut bakal dijual dengan harga tinggi untuk mengelakkan dia daripada disambar oleh kelab lain secara percuma setelah kontraknya tamat pada tahun 2022 kelak.
Real dikhabarkan telah pun menawarkan kontrak baru untuknya, namun masalah timbul apabila Varane tidak berpuas hati dengan gaji.
Manchester United diramalkan bakal menjadi destinasi utama untuk pemain warga Perancis itu, dan bidaan setinggi £60 juta (RM302 juta) dikhabarkan sudah pun disediakan oleh The Red Devils bagi mengukuhkan barisan pertahanan mereka.
Bagi Isco dan Marcelo pula, biarpun persembahan kedua-duanya boleh dikatakan agak konsisten, mereka dilaporkan gagal untuk memuaskan hati Zidane dan lebih selesa untuk memburu cabaran baru bersama kelab lain.
Menyebut tentang Zidane, menurut laman goal.com, jurulatih yang cukup disayangi kelab itu sudah pun mengumumkan kepada semua pemainnya bahawa aksi menentang Athletic Club, Ahad ini bakal menjadi tugasan terakhirnya.
Zidane dikatakan dilanda kelesuan fizikal dan mental sejak kepulangannya 'menyelamatkan' Real sebagai jurulatih bidan terjun pada 2018, namun ada juga ura-ura dia bakal berpindah ke Itali untuk bersatu semula dengan kelab yang mula-mula melonjakkan namanya, Juventus.
Satu-satunya persoalan kini, adakah Zidane bakal berundur dengan trofi La Liga di tangannya ataupun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara sahaja?
Beberapa hari lalu, Real berjaya menduduki singgahsana liga selama 21 minit sahaja, sebelum gol Luis Suarez untuk Atletico Madrid, menurunkan mereka ke tangga kedua semula dengan perbezaan dua mata.
Biarpun jika Real ditakdir menewaskan Athletic Club hujung minggu ini, gelaran juara masih berkemungkinan terlepas jika seteru tradisional, Atletico, turut sama mencapai kemenangan.
Tidak kira bagaimanapun kesudahannya, Perez sudah pun merencanakan persiapan Real untuk musim baru.
Bekas penyerang legenda, Raul Gonzalez, diuar-uarkan sebagai pilihan utama untuk menggantikan Zidane.
David Alaba dari Bayern Munich sudahpun berjaya ditandatangani untuk mengisi ruang kosong di pertahanan tengah.
Sebagai pelengkap revolusi baru ini, Perez dikhabarkan tidak akan berpuas hati selagi dia tidak berjaya mendapatkan khidmat Kylian Mbappe atau Erling Haaland, dua penyerang muda terbaik dunia ketika ini.
Menurut laporan kewangan yang dikeluarkan oleh Brand Finance semalam, Real Madrid berjaya mengekalkan tempat mereka sebagai kelab bola sepak paling berharga di dunia -- jenama kelab tersebut dianggarkan setinggi £1.2 bilion (RM6 bilion).
Namun terlebih dahulu, kita nantikan sama ada berjayakah mereka mengekalkan kejuaraan Ahad ini.
#Real Madrid
#bola sepak
#Zinedine Zidane
#Sergio Ramos
#jurulatih
#LaLiga
#Marca
#kontrak
#pemain pertahanan
#Manchester United
#Bayern Munich
#Luis Suarez
#Athletic Club