Real Madrid raja bola sepak Eropah

Sinar Harian
Jun 2, 2024 09:00 MYT
Pemain Real Madrid Aurelien Tchouameni menjulang trofi yang dimenangi pasukan itu selepas menewaskan Borussia Dortmund dalam perlawanan Liga Juara-juara di Stadium Wembley, London, Britain, 1 Jun 2024. - REUTERS
GERGASI La Liga Sepanyol, Real Madrid merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara kali ke-15 selepas menewaskan kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund, 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley pada Ahad.
Real Madrid hadir dengan reputasi pilihan berdepan tentangan sengit Borussia Dortmund sebelum dua gol penghujung separuh masa kedua sentuhan Dani Carvajal (m-74) diikuti Vinicius Junior (m-83) memisahkan kedua-dua pasukan.
Los Blancos kendalian Carlo Ancelotti tampil ke final dengan status pasukan pilihan kali terakhir menjulang kejuaraan tertinggi kelab Eropah itu pada musim 2021/22, setelah menewaskan Liverpool, 1-0 di Stadium Stade de France, Saint-Denis, Perancis.
Real Madrid mara ke final selepas menyingkirkan penyandang juara Manchester City, menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 setelah terikat 4-4 di suku akhir sebelum mengesahkan slot final dengan menang 4-3 ke atas jagoan Bundesliga Jerman, Bayern Munich.
Sementara itu, Die Borussen dikuasakan Edin Terzic pula mengintai kejuaraan kedua selepas kali terakhir melakukan pada musim 1996/97 setelah menumbangkan gergasi Serie A, Juventus, 3-1 dalam perlawanan akhir di Olympiastadion, Munich, Jerman.
Borussia Dortmund jajaran ke perlawanan akhir menewaskan Atletico Madrid, 5-4 (suku akhir), Paris Saint-Germain (PSG), 2-0 (separuh akhir). - Sinar Harian
#Real Madrid #Borussia Dortmund #Liga Juara-Juara Eropah #UCL
;