Real Madrid pertahan gelaran juara kelab dunia

Ian Johan Ariff
Disember 23, 2018 14:45 MYT
Real Madrid meraikan kemenangan di Bandar Sukan Zayed Abu Dhabi. - Foto AP.
Jurang perbezaan standard pasukan Asia dengan Eropah masih lagi jauh selepas wakil Abu Dhabi, Al Ain dibelasah juara Eropah, Real Madrid 4-1 dalam Kejohanan Kelab Dunia FIFA.
Berlangsung di Abu Dhabi, wakil tuan rumah mara ke final selepas menyingkirkan juara Amerika Selatan, River Plate 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti, manakala Madrid menewaskan wakil Jepun, Kashima Antlers 3-1.
Dalam perlawanan akhir pada Sabtu, Madrid menurunkan barisan terkuat termasuk pemain terbaik dunia, Luka Modric yang meledak gol pertama hasil rembatan jarak jauh pada minit 14.
Walaupun menguasai permainan, Madrid hanya mendapat gol kedua pada minit ke-60 babak kedua menerusi Marcos Llorente hasil volley jarak jauh sebelum Sergio Ramos menanduk masuk gol ketiga Real pada minit ke-78.
Tsukasa Shiotani berjaya mendapatkan gol saguhati buat Al Ain empat minit sebelum tamat namun Madrid berjaya mendapat gol keempat menerusi jaringan sendiri, Yahya Nader dalam masa kecederaan.
Ia merupakan kejayaan ketiga berturut-turut Real Madrid menjulang gelaran juara kelab dunia ini dan merupakan gelaran keempat secara keseluruhan.
Jumlah tersebut mengatasi pencapaian yang dibuat musuh tradisi Real di Sepanyol, Barcelona, yang memenanginya sebanyak tiga kali.
Sebelum perlawanan final ini, River Plate mendapat tempat ketiga selepas menewaskan juara Asia, Kashima Antlers 4-0.
#Abu Dhabi #Al Ain #Kashima Antlers #Kejohanan Kelab Dunia FIFA #Luka Modric #Real Madrid #River Plate #Sergio Ramos #Tsukasa Shiotani #Yahya Nader
;