Rayuan PFA: MFL enggan tertipu buat kali kedua

Astro Awani
Februari 22, 2019 02:49 MYT
Persatuan Bola Sepak Perlis didapati gagal membuktikan kemampuan untuk menguruskan pasukan bagi bersaing dalam Liga Malaysia musim ini. - Gambar hiasan
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) enggan tertipu buat kali kedua.
Demikian disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, yang menegaskan permohonan Perlis untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) tipis.
Beliau berkata demikian mengulas rayuan yang dikemukakan wakil Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada Khamis, selepas pasukan itu dibenarkan membuat rayuan mengikut perlembagaan badan pentadbir liga itu.
Wakil itu mengemukakan rayuan kepada MFL agar keputusan itu ditarik balik bagi memastikan skuad Singa Utara boleh beraksi semula dalam Liga Perdana.
PFA mempunyai tempoh tujuh hari bermula daripada keputusan ahli lembaga pengarah MFL pada Rabu untuk proses rayuan itu, dengan syarat mereka perlu membuktikan kesahihan terhadap dokumen kewangan persatuan.
BACA: PFA diberi tempoh seminggu rayu elak penyingkiran dari Liga Malaysia
BACA: Hairan 'orang luar' dipilih - Bekas penjaga gol Perlis
Ahli lembaga pengarah MFL pada Rabu sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga-M 2019 berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dicapai setelah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) gagal membuktikan kemampuan untuk menguruskan pasukan bagi bersaing dalam Liga-M musim ini.
BACA: Azmi Muslim akui jadi mangsa keadaan
BACA: Safee tinggalkan Singa Utara untuk ajar pengurusan
Sementara itu, Timbalan Presiden PFA Abd Karim Khan Mansor Ahmad Khan enggan mengulas lanjut mengenai desakan ramai pihak agar Presiden Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie meletak jawatan.
Sebaliknya, beliau hanya fokus kepada usaha menyelesaikan masalah yang dialami pemain Perlis, dengan mengharapkan keajaiban berhubung rayuan mereka pada Khamis.
#bola sepak #kevin ramalingam #Liga Malaysia #Liga Perdana #MFL #penyingkiran #Perlis #Persatuan Bola Sepak Perlis #PFA #rayuan