Raya sebulan, kata Zaquan

Astro Arena
April 21, 2019 22:03 MYT
Zaquan kelihatan mudah terjatuh di atas padang, namun dia menganggap segala kritikan itu sebagai satu cabaran. - Astro ARENA
RAYA sebulan, kata kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang bersedia untuk mengorbankan sambutan Hari Raya tahun ini demi tugasan dengan skuad kebangsaan, Jun depan.
Skuad negara akan membuat perhitungan dengan Timor Leste dalam pusingan play-off pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada 6 dan 11 Jun.
Dengan ia turut menjadi perlawanan kelayakan ke Piala Asia 2023, aksi berdepan Timor Leste itu akan berlangsung sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ia tampak menjejaskan kemahuan pemain untuk dipanggil menyarung jersi kebangsaan, namun Zaquan menyuarakan hasrat sebaliknya.
"Sebagai pemain profesional, ia perlu ditolak ke tepi. Bagi saya, saya mencari rezeki dengan bola sepak.
"Raya bila-bila kita boleh raya tetapi apabila diberi tanggungjawab untuk mewakili negara, kita perlu memberikan yang terbaik.
"Raya sebulan, jadi kami perlu mengorbankan sedikit masa demi negara," katanya.
Pengakuan Zaquan itu tiba ketika khidmatnya mula dipandang sepi oleh sesetengah pihak.
Ia selepas dia kelihatan mudah terjatuh di atas padang, namun pemain berusia 32 tahun itu menganggap segala kritikan itu sebagai satu cabaran.
"Setiap atlet yang mewakili negara memerlukan semangat dan sokongan. Ia bukanlah cara yang tepat untuk memberikan pandangan.
"Apa yang lebih penting adalah saya tahu saya masih ada hati dan semangat untuk mewakili Malaysia," tambahnya.
#Aidilfitri #bola sepak #hari raya #Harimau Malaysia #jatuh #Malaysia #Piala Asia 2023 #Piala Dunia #Timor Leste #Zaquan Adha Abdul Radzak
;