Ratu MMA negara Ann Osman umum bersara dari gelanggang
Haider Yutim
November 28, 2017 09:21 MYT
November 28, 2017 09:21 MYT
Ratu seni beladiri campuran (MMA) negara, Ann 'Athena' Osman telah mengumumkan persaraannya selepas lebih empat tahun bergiat dalam sukan itu.
Ann, 31 tahun, mengesahkan perkara itu dalam satu kemas kini status di laman Facebooknya malam tadi.
"Dengan hati yang berat, secara rasminya saya telah bersara dari pertarungan profesional, sebuah kerjaya yang saya pilih (pada ketika itu) yang telah membawa kepada pertarungan di gelanggang ONE Championship selama empat tahun setengah.
"Saya teruja dan bersyukur untuk mengambil satu lagi langkah besar dalam karier saya, dan harap dapat menerima sokongan dari semua pihak dalam perjalanan baru ini," katanya.
Persaraan Ann sebelum itu turut diumumkan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong di media sosial.
Beliau memaklumkan, Ann akan bersara dari bertarung dan akan menyertai unit perhubungan/pembangunan atlet di organisasi tersebut.
"Tahniah kepada Ann Osman kerana menjadi atlet wanita profesional pertama bersara dari gelanggang ONE dan mengambil peranan eksekutif di ONE Championship," kata Sityodtong di Facebook.
Ann, atau nama sebenarnya Nur Ain Osman dari Sabah, merupakan wanita Malaysia pertama yang bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA ONE Championship.
Gadis separuh Dusun itu mempunyai latar belakang yang kukuh dalam seni mempertahankan diri di mana beliau telah dilatih oleh jurulatihnya, AJ ' Pyro ' Lias Mansor.
Selain MMA, Ann turut memiliki serta mengurus dua perniagaan, iaitu sebuah gym di Kota Kinabalu dan sebuah syarikat rekreasi.
Beliau juga sering dijemput sebagai penceramah motivasi serta menjadi duta barangan dan jenama.
Ann juga telah berkahwin dengan rakan niaganya Effendi @ Andrey Adriano Abdullah pada November tahun lalu.
#Ann Osman
#Chatri Sityodtong
#gelanggang
#MMA
#Nur Ain Osman
#ONE Championship
#persaraan
#ratu MMA