Ratu gimnas Korea Selatan azam tingkat kualiti gimnastik Asia
Cynthia Ng
April 30, 2018 05:16 MYT
April 30, 2018 05:16 MYT
BEKAS atlet gimnas berirama Korea Selatan, Son Yeon-jae mahu menggunakan pengalamannya untuk bantu meningkatkan populariti dan kualiti sukan tersebut di Asia.
Yeon-Jae, 23 tahun, merupakan personaliti popular di negaranya selepas menjadi gimnas pertama Korea Selatan layak ke final Sukan Olimpik London pada 2012.
Beliau kemudian muncul juara kategori individu dalam Sukan Asia di Incheon pada 2014.
Kemunculan terakhir Yeon-jae di Sukan Olimpik Rio di Janeiro pada 2016 sebelum beliau mengumumkan persaraan pada 2017.
“Tidak ramai orang di Korea Selatan mengenali sukan gimnastik berirama dahulu,” kata Yeon Jae yang mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut pada usia lima tahun.
“Kini, hampir semua rakyat Korea Selatan mengenalinya dan mengingati nama saya,” tambah Yeon-jae apabila ditemui di kejohanan Gimnastik Berirama Asia yang sedang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Beliau turut menerima pelbagai tawaran muncul dalam komersial di negaranya selepas menempa nama dalam sukan itu.
“Saya ingin menggunakan peluang ini untuk membawa perubahan dan membantu atlet muda di Korea Selatan dan Asia. Saya ingin membantu meningkatkan kemahiran dan keyakinan mereka apabila bersaing dalam kejohanan peringkat dunia.”
Tambah Yeon Jae, peluang untuk berlatih di Rusia selama enam tahun di bawah jurulatih bertaraf dunia berjaya menggilap bakatnya ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau mengakui terpaksa menggunakan dana sendiri untuk menjalankan latihan di Rusia pada permulaan kariernya yang memakan belanja yang tinggi.
“Gimnas berirama mungkin dilihat sebagai sukan yang 'cantik' tetapi ramai yang tidak mengetahui pengorbanan di sebaliknya serta latihan intensif yang perlu dilalui oleh atlet."
‘Nasihat saya kepada atlet muda, jangan mudah berputus asa kerana kejayaan boleh dicapai sekiranya anda benar-benar inginkannya.”
#gimnastik
#gimrama
#Incheon
#Korea Utara
#Rio de Janeiro
#Rusia
#Soon Yeon-jae
#sukan
#Sukan Asia
#Sukan Olimpik Rio