Rasuah: Blatter, Platini bakal berdepan penggantungan 90 hari
Shuhami Zabri
Oktober 8, 2015 09:03 MYT
Oktober 8, 2015 09:03 MYT
Dua pemimpin utama bola sepak dunia, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter dan Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Michel Platini bakal berdepan penggantungan selama 90 hari.
Daily Mail dalam laporannya pada Rabu melaporkan Lembaga Etika FIFA dalam siasatan berhubung isu rasuah yang melanda badan bola sepak dunia itu telah mencadangkan supaya penggantungan serta merta dikenakan ke atas mereka.
Hukuman tersebut dikatakan ada kaitan dengan siasatan lembaga itu berhubung bayaran RM8.7 juta yang diterima Platini pada 2011 bagi kerja perundingan yang dilakukannya untuk Blatter, sembilan tahun lalu.
Persoalan yang disiasat oleh lembaga itu ialah jarak masa yang lama sebelum Blatter membuat bayaran itu kepada Platini.
Blatter juga sedang disiasat berhubung penjualan hak siaran televisyen Piala Dunia kepada rakan FIFA beliau, Jack Warner pada harga diskaun sehingga membolehkan bekas eksekutif bola sepak dari Trinidad dan Tobaga itu meraih keuntungan RM71 juta.
Berikutan perkembangan terbaharu dalam siasatan berkenaan, Ketua Bahagian Perundangan FIFA, Hans-Joachim Eckert perlu memutuskan sama ada untuk mengenakan penggantungan ke atas Blatter dan Platini.
Jika hukuman itu disahkan, Blatter dan Platini bakal menjalani penggantungan sehingga awal Januari tahun depan.
Keputusan itu sekali gus bakal menamatkan penguasaan Blatter selama 17 tahun mengetuai FIFA yang sebelum ini terpalit dengan skandal rasuah sehingga menjejaskan nama persekutuan itu.
Penggantungan itu juga bakal menyingkirkan Platini daripada bertanding bagi jawatan Presiden FIFA serta mungkin menyaksikan tempoh lapan tahun beliau mengetuai UEFA berakhir.
Berikutan ketiadaan Blatter, Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Issa Hayatou dijangka memangku jawatan Presiden FIFA sehingga pemilihan presiden persekutuan itu yang akan diadakan 26 Februari tahun depan.
Sementara itu, bagi jawatan Presiden UEFA, Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Angel Maria Villar Llona dijangka mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Paltini.
#FIFA
#hak penyiaran
#isu rasuah
#Jack Warner
#lembaga etika
#Michel Platini
#Piala Dunia
#Sepp Blatter