Rashford main macam budak-budak, Keane bidas bintang Man Utd tiada kemahuan
Astro Arena
April 20, 2022 11:04 MYT
April 20, 2022 11:04 MYT
MARCUS Rashford bermain seperti budak-budak dalam kekalahan perit Manchester United kepada Liverpool, menurut bekas ketua pasukan, Roy Keane.
United yang tidak bertaring tunduk 0-4 di Anfield, awal pagi tadi, dan membolehkan pencabar itu meneruskan pemburuan empat gelaran buat julung kalinya apabila muncul peneraju baru Liga Perdana Inggeris (EPL).
Luis Diaz dan Mohamed Salah meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu di depan ketika The Red Devils mempamerkan aksi hambar dalam babak pertama di mana mereka gagal mencipta sebarang percubaan -- ia belum pernah berlaku dalam saingan liga sejak kemenangan 2-3 kepada Manchester City pada April 2018.
Sadio Mane dan Salah menambah derita lawan dengan dua gol dalam separuh masa kedua.
Rashford sekadar melakukan sembilan sentuhan pada awal permainan sementara hanya dua sentuhan di dalam kotak penalti Liverpool sepanjang 90 minit.
"Pada awal musim ia adalah satu kemarahan tetapi kini ia bertukar kepada menyedihkan. Anda lihatlah pasukan hari ini, saya rasa mereka tiada hati untuk berada di sana. Tiada jiwa, tidak ada pemimpin. Mereka begitu menyimpang daripada kualiti sebenar," katanya yang menjadi pemerhati untuk Sky Sports.
"Kelab ini serba-serbi kucar-kacir. Peminat tidak dapat meluangkan masa dengan pemilik. Mereka perlukan pengurus baru, mereka perlu bawa masuk dan melepaskan pemain.
"Ia cukup menyedihkan untuk dilihat. Ini bukan kelab yang pernah saya wakili. Ia tidak menggambarkan apa yang kelab itu berdiri ketika saya bermain, mereka begitu rapuh. Saya tidak melihat pasukan Man United di luar sana berjuang dan bermain dengan bangga. Sungguh sedih melihat pasukan ini.
"Mereka bertentangan dengan apa yang anda mahukan sebagai pencabar utama. Apabila keadaan menjadi sukar, mereka makin runtuh. Ia adalah satu perjalanan yang jauh untuk kelab ini. Ketika saya beraksi, sentiasa ada sedikit kebanggaan. Saya fikir sekarang ia sudah pupus di kelab ini.
"Tiada pasukan di Man United. Ada beberapa pemain yang bagus tetapi apabila muncul mereka lebih suka bertindak berlebihan dan ketika keadaan menjadi sukar atau di bawah tekanan, mereka gagal menjelmakannya pula. Mereka tidak dapat membangkitkan semangat berpasukan yang diperlukan."
Paul Pogba -- yang dicemuh peminat sendiri ketika membenam Norwich City 3-2 hujung minggu lalu -- terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada awal permainan di Anfield itu dan digantikan oleh Jesse Lingard, namun Keane tidak kagum dengan pemain simpanan terbabit.
"Jesse Lingard dimasukkan untuk cuba menyelamatkan Man United? Jesse Lingard sepatutnya meninggalkan Man United dua tahun lalu. Dia tidak cukup bagus untuk Man United," katanya.
"Marcus Rashford bermain seperti kanak-kanak di bahagian hadapan. Baiklah dia tidak menerima umpanan tetapi sentuhannya buruk dalam satu atau dua peluang yang hadir dalam babak pertama.
“Harry Maguire -– gol terakhir -– hantaran dan cara bertahannya langsung tidak boleh diterima, tidak cukup bagus buat Manchester United.
"Jadi kami perlu menggunakan perkataan ini sekali lagi, bercakap tentang usaha membina semula pasukan. Pertama sekali Man United perlu mendapatkan pemain yang diharapkan bagus, pemain profesional yang berkualiti, berbakat untuk cuba bersaing.
"Sukar dipercayai United berada di tangga keenam dalam liga."