Rashford mahu Old Trafford jadi kubu selepas jaring hatrik ke atas Leipzig

Astro Arena
Oktober 29, 2020 08:45 MYT
Marcus Rashford (kanan) meraikan bersama Bruno Fernandes selepas menjaringkan gol kedua dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah kumpulan H antara Manchester United dan RB Leipzig, di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 28 Okt, 2020. (Foto AP)
MARCUS Rashford mahu menjadikan kemenangan 5-0 Manchester United ke atas RB Leipzig dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi sebagai permulaan untuk Old Trafford kembali menjadi satu tempat yang digeruni pihak lawan.
Rashford dimasukkan sebagai pemain gantian selepas sejam perlawanan Kumpulan H itu untuk menjaringkan tiga gol pantas dan menjadi pemain gantian kelima menjaringkan hatrik dalam sejarah kejohanan itu.
Prestasi penyerang kebangsaan England itu membantu United menumbangkan pendahulu Bundesliga itu, yang sebelumnya tidak pernah tewas dalam sebarang perlawanan musim ini.
United tewas 1-6 kepada Tottenham Hotspur di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal bulan ini tetapi Rashford berharap kejayaan ke atas Leipzig itu akan menjadi petanda baik.
"Amat penting untuk mendapatkan kemenangan pertama di laman sendiri musim ini," katanya kepada wartawan selepas perlawanan.
"Tempat ini perlu menjadi kubu kami, jadi amat penting untuk memperoleh kemenangan. Harap-harap ia akan mejadi permulaan bagi musim ini.
"Kami kini memperoleh enam mata daripada dua perlawanan. Kami berada di kedudukan terbaik dalam kumpulan dan harap-harap kami dapat membawa prestasi itu ke dalam EPL," katanya.

3 goals 16 minutes 1030000 signatures Cant stop smiling, Ive waited a long time for that. Just wish the fans were in to experience it with me https://t.co/FvvpO6JYWX#ENDCHILDFOODPOVERTY pic.twitter.com/QJGJxSzTlj

— Marcus Rashford MBE (@MarcusRashford) October 28, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengenai gol hatriknya, Rashford berkata kepada BT Sport: "Amat hebat untuk menjaringkan hatrik, anda sudah pasti mahu memberikan impak dari bangku pemain simpanan dan ia sudah cukup baik buat saya.
"Saya fikir pengurus mahu saya meningkatkan rentak permainan. Ia bermakna kami perlu menyerang. Terdapat banyak ruang di sana. Kami kelihatan amat berbahaya selepas itu dan dapat menjaringkan gol setiap kali kami naik ke atas," tambahnya.
Rashford menjadi pemain United kedua menjaringkan hatrik ketika beraksi sebagai pemain gantian selepas pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer, melakukan perkara sama ke atas Nottingham Forest dalam EPL pada Februari 1999.
#Manchester United #Liga Perdana Inggeris #RB Leipzig #Marcus Rashford #Liga Juara-Juara Eropah #pemain gantian #hatrik
;