Ranieri dipecat Watford selepas tewas kepada Norwich

Astro Arena
Januari 25, 2022 12:36 MYT
Watford memuji integriti jurulatih berusia 70 tahun itu tetapi menjelaskan satu perubahan perlu dilakukan. - Astro ARENA
CLAUDIO Ranieri dipecat Watford selepas tewas kepada pesaing di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL), Norwich City.
Watford tewas 0-3 kepada Norwich City pada Sabtu lalu dan tidak pernah menang sepanjang sembilan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan - rekod terburuk mereka sejak Disember 2013.
Ia terbukti menjadi perlawanan terakhir mereka di bawah bimbingan Ranieri, yang hanya dapat meraih tujuh mata daripada 39 yang ditawarkan sejak mengambil alih tugas Xisco Munoz pada October lalu.
Kelab itu mengeluarkan satu kenyataan berkenaan pemecatan jurulatih itu awal pagi tadi.
Watford memuji integriti jurulatih berusia 70 tahun itu tetapi menjelaskan satu perubahan perlu dilakukan untuk memberikan pengganti Ranieri waktu yang mencukupi untuk menyelamatkan kelab itu daripada penyingkiran.
"Kelab Bolasepak Watford mengesahkan ketua jurulatih Claudio Ranieri dipecat.
"Pihak Lembaga The Hornets mengakui Claudio merupakan seorang yang berintegriti dan bermaruah, yang akan sentiasa dihormati di Vicarage Road atas usahanya memimpin pasukan ini dengan bermaruah.
Bagaimanapun, pihak lembaga berpendapat, dengan baki hampir separuh saingan EPL, pertukaran ketua jurulatih yang dilakukan sekarang akan memberikan pengendali baru waktu yang mencukupi untuk bekerjasama dengan skuad berbakat ini bagi mencapai matlamat segera untuk kekal dalam EPL.
"Tiada ulasan lanjut akan dilakukan kelab ini sehingga pelantikan jurulatih baru dalam masa terdekat ini."
Watford seterusnya akan berdepan Burnley pada 5 Februari ini.
#bola sepak #Claudio Ranieri #dipecat #Watford
;