Rangnick tiada kena-mengena aksi United seri dengan Chelsea - Carrick
Astro Arena
November 29, 2021 08:53 MYT
November 29, 2021 08:53 MYT
CHELSEA 1 MANCHESTER UNITED 1
Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick, menegaskan bahawa percaturan pasukannya ketika mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, 1-1 awal pagi tadi tidak ada kena mengena dengan Ralf Rangnick -- individu yang dijangka akan dilantik sebagai pengurus baru pasukan itu sehingga hujung musim ini.
Carrick mengambil alih pasukan itu selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer hujung minggu lalu dan kini merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri daripada dua perlawanan pertamanya.
Pertembungan dengan Chelsea di Stamford Bridge berlangsung pada ketika United dikatakan sudah bersetuju dengan satu kesepakatan untuk melantik Rangnick sebagai pengurus interim sehingga hujung musim ini, di mana dia kemudian akan dialihkan ke peranan di bahagian perundingan.
Rangnick mempunyai reputasi yang besar sama ada dalam bidang kejurulatihan atau sebagai pengarah, di mana dua jurulatih terbaik zaman ini, Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel, menganggapnya sebagai satu aspirasi sambil kredibilitinya telah terbukti ketika melakukan transformasi ke atas dua kelab Jerman, Hoffenheim dan RB Leipzig.
Ketika United masih belum melakukan sebarang pengumuman, terdapat spekulasi yang bertiup kencang mendakwa gaya permainan terkenal Rangnick -- berdasaran aksi agresif ketika melakukan tekanan dan serangan -- dapat dilihat dilakukan oleh Carrick dalam perlawanan di Stamford Bridge itu.
Cristiano Ronaldo -- yang dikritik kerana pergerakan tanpa bolanya -- digugurkan daripada kesebelasan utama dan United kelihatan lebih banyak melakukan tekanan berbanding apa yang selalu dilakukan mereka di bawah bimbingan Solskjaer tetapi Carrick menegaskan bahawa ia hanyalah satu kebetulan dan bukannya percaturan yang dirancang oleh Rangnick.
Ditanya oleh BBC sama ada Rangnick berpengaruh dalam percaturan taktikalnya, Carrick berkata: "Tidak. Ia tiada kena mengena."
Sebaliknya, pendekatan itu dipilih berdasarkan penerimaan bahawa United perlu merangka segala keperluan untuk membentuk apa-apa keputusan positif.
"Untuk bermain di gelanggang lawan dan berasa kecewa seakan-akan anda kehilangan sesuatu merupakan satu petanda positif.
"Ia memang dirancang dan ia menunjukkan betapa bernafsunya kami hari ini.
"Kami sedar ia tidak akan menjadi permainan yang lancar sepanjang masa tetapi kami bersedia untuk menembusinya," katanya.
United mendahului pada awal babak kedua menerusi salah satu daripada tiga percubaan tepat yang dilakukan mereka -- Jadon Sancho meletakkan United di depan dengan memanfaatkan kesilapan Jorginho untuk menewaskan penjaga, Edouard Mendy, sebelum pemain tengah Itali itu menebus kesilapannya dengan menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan.
"Saya langsung tidak rasa ia sepatutnya sepakan penalti. Mereka melakukan banyak percubaan, David (De Gea) melakukan beberapa aksi menyelamat, di mana kami sedar sebelum perlawanan bahawa kami perlu melakukannya.
"Selain itu, saya berasa agak selesa dengan perlawanan ini. Sudah pasti anda mahukan sesuatu yang lebih baik.
"Saya tidak akan terbawa-bawa walaupun saya fikir kami bertahan dengan baik. Saya tidak boleh menyalahkan pemain walau sedikit pun," katanya lagi.