Rangnick akui kendalikan Ronaldo satu cabaran

Astro Arena
Mac 13, 2022 13:11 MYT
Aksi Cristiano Ronaldo (tengah) selepas menjaringkan gol ketiganya dalam perlawanan EPL antara Manchester United dan Tottenham Hotspur di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 12 Mac 2022. (Foto AP)
RALF Rangnick mengakui adalah menjadi "satu cabaran buatnya" untuk menguruskan Cristiano Ronaldo selepas penyerang Manchester United itu menikmati hatrik dalam kemenangan 3-2 menentang Tottenham, awal pagi tadi.
Ronaldo memberikan United tiga pendahuluan apabila tandukan kencang pemain berusia 37 tahun itu pada minit ke-81 memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.
Dia meledak gol pembukaan dari jarak 25 ela sebelum memecut untuk menyambut hantaran lintang Jadon Sancho di hujung pintu gol untuk jaringan keduanya.
Persembahan itu mengundang penyokong untuk memberikan tepukan kepadanya sebagai penghargaan.
Kelibat pemenang lima Ballon d'Or itu amat mengagumkan tetapi ia bukan sesuatu yang sering berlaku sepanjang kepulangannya di Old Trafford.
Sebelum perlawanan, Ronaldo hanya mempunyai satu gol Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2022 lalu timbul persoalan adakah dia akan kekal sebagai pemain United musim depan.
Rangnick ditanya tentang apa yang diperlukan untuk menguruskan bintang tersohor sepertinya yang mencatat jaringan ke-807 sepanjang kerjayanya untuk menenggelamkan pelawat yang di bawah asuhan Antonio Conte -- dua kali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane dan gol sendiri Harry Maguire.
"Ia mencabar, dan ia adalah satu cabaran dengan kehadiran pemain sepertinya," kata pengurus sementara United itu kepada Sky Sports.
“Tetapi hari ini dia membuktikan bahawa dia masih mempunyai kualiti untuk beraksi bersama kelab seperti Manchester United.
"Tetapi dia juga sebahagian daripada pasukan ini dan sekiranya kami mahu melakukannya hingga hujung musim ini, kami perlu melakukannya bersama-sama."
Ronaldo terlepas perlawanan 'derby' Manchester minggu lalu akibat kecederaan pinggul.
Bekas kapten United, Roy Keane, antara mereka yang mempersoalkan Ronaldo sebenarnya mungkin diketepikan untuk perlawanan itu, namun prasangka itu dinafikan Rangnick.
Pengurus dari Jerman itu sebaliknya kagum dengan kehebatan Ronaldo ketika menentang Tottenham yang menyerlahkan prestasi sebenar sebagaimana ketika di Real Madrid.
"Sekurang-kurangnya sejak saya tiba, dia dapat menjelmakan persembahan terbaiknya," katanya lagi.
“Bukan sahaja kerana dia menjaringkan ketiga-tiga gol termasuk dua gol menarik, malah dia juga bertenaga.
"Dia adalah sebahagian daripada pasukan ini ketika kami terpaksa bertahan dan kami perlu banyak bertahan.
"Ini bukan sahaja satu prestasi cemerlang daripadanya, malah oleh keseluruhan pasukan."
#EPL #Cristiano Ronaldo #Manchester United #Ralf Rangnick
;