Rangkul Piala Malaysia, lengkapkan kegemilangan Perak

Bernama
Oktober 26, 2018 16:08 MYT
Perak yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Australia, Mehmet Durakovic akan berhadapan dengan skuad Terengganu pada perlawanan akhir esok, di Stadium Shah Alam. - Gambar fail
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How menganggap sekiranya skuad The Bos Gaurus berjaya merangkul Piala Malaysia esok, bakal melengkapkan episod gemilang sukan bola sepak Perak pada musim ini.
Beliau berkata, kecemerlangan skuad bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Perak menggenggam emas pada temasya sukan itu bulan lepas, seharusnya dijadikan motivasi oleh para pemain senior untuk menempa satu lagi kejayaan.
"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jika kita dapat bawa balik Piala Malaysia, ia akan menjadi sejarah paling unggul dan cemerlang dalam sukan bola sepak tahun ini.
"Kejayaan itu juga nanti sebagai hadiah terbaik untuk para penyokong negeri yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi," katanya pada sidang media selepas menemui para pemain dan pihak pengurusan Perak yang akan berlepas ke Stadium Shah Alam, hari ini.
Perak yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Australia, Mehmet Durakovic akan berhadapan dengan skuad Terengganu pada perlawanan akhir esok, di Stadium Shah Alam.
Kali terakhir Perak mendakap Piala Malaysia adalah pada tahun 2000, selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di stadium sama.
Lee berharap para pemain akan kekal fokus dan mempamerkan aksi terbaik untuk membenam cabaran skuad Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Salim.
"Hanya satu misi iaitu membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini walaupun kita menyedari laluan sengit bakal dihadapi," katanya.
Mengulas imbuhan yang akan diterima pemain sekiranya menjulang Piala Malaysia, beliau berkata, perkara itu hanya akan diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
"Saya rasa ia akan dibincangkan dan saya akan menyokong sepenuhnya keputusan dibuat kerana ini adalah pengiktirafan tertinggi atas pengorbanan pemain serta pegawai pasukan," katanya.
#Ahmad Faizal Azumu #Howard Lee Chuan How #Perak #Piala Malaysia #stadium shah alam #Sukan Malaysia #SUKMA #The Bos Gaurus
;