Rangers tamatkan penantian 12 tahun ke Liga Juara-Juara

Astro Arena
Ogos 25, 2022 09:00 MYT
Aksi Antonio Colak meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan UCL antara PSV Eindhoven dan Rangers, di stadium Philips di Eindhoven, Netherlands, 24 Ogos 2022. (Foto AP)
PSV 0 RANGERS 1
(Rangers mara dengan agregat 3-2)
Jaringan Antonio Colak memastikan Rangers kembali ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengetepikan PSV dengan agregat 3-2 dalam perlawanan play-off.
Kedua-dua pasukan sama liat apabila seri 2-2 dalam pertemuan pertama minggu lalu, tetapi kali ini skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst itu kembali ke saingan utama Eropah selepas 12 tahun menerusi kejayaan di Stadion Philips, awal pagi tadi.
Malik Tillman merampas penguasaan bola Andre Ramalho di dalam kawasan penalti PSV ketika permainan berusia sejam sebelum mengumpan untuk disudahkan pemain Croatia itu untuk gol tunggal pertemuan tadi untuk memuktamadkan kemenangan mereka.
Biarpun hanya menang sekali dalam 11 perlawanan Eropah ketika berkunjung ke gelanggang lawan sebelum ini, finalis Liga Europa musim lalu itu bertekad menghadiahkan kekalahan kedua kepada PSV di tempat sendiri selepas 14 perlawanan.
#Antonio Colak #Rangers #PSV #UCL
;