Ramdan, Hafizh sekadar raih petak ke-12, 14

Bernama
Oktober 29, 2016 18:38 MYT
Hafizh Syahrin Abdullah mengambil gambar selfie pada sesi bertemu peminat di Stesen Petronas Petaling Utama pada 26 Oktober, 2016. - fotoBERNAMA
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Ramdan Rosli sedar mereka perlu menggandakan usaha seandainya mahukan keputusan lebih baik dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia, esok.
Hafizh Syahrin yang mewakili Petronas Raceline Malaysia dan Ramdan (Petronas AHM Malaysia), yang beraksi atas tiket wild card akan memulakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang esok, masing-masing dari petak ke-14 dan 12.
Ramdan mencatat masa dua minit 22.697 saat manakala Hafizh Syahrin pula sekadar melakukan 2:23.213s.
Bagi Ramdan, beliau tidak menyangka dapat menduduki petak ke-12 pada penampilan keduanya di Sepang.
"Saya sangat gembira dengan pencapaian hari ini kerana ia merupakan penampilan kedua saya di sini dan keputusan terbaik saya sepanjang sesi kelayakan di MotoGP.
"Sasaran saya esok semestinya mahu menamatkan perlumbaan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk mengutip mata di laman sendiri," katanya.
Sementara itu, biarpun meraih petak ke-14, Hafizh Syahrin yang dikenali sebagai 'Pescao55' berkata beliau tidak bimbang dengan keputusan pada sesi kelayakan tersebut.
"Prestasi saya agak baik berbanding semalam, mungkin pada sesi kelayakan tadi, cuaca agak sukar untuk diramal bagi merancang kesesuaian tayar dan strategi.
"Saya sepatutnya tukar tayar kering pada penghujung sesi kelayakan tetapi saya masih was-was dan tidak mahu ambil risiko. Saya yakin pada perlumbaan esok saya boleh lonjak ke kelompok hadapan," katanya.
Pelumba Ajo Motorsport, Johann Zarco dari Perancis meraih petak pertama untuk perlumbaan esok selepas mencatat masa 2:18.621s.
Pelumba Estrella Galicia 0,0 Marc VDS, Franco Morbidelli dan Axel Pons (AGR Team) masing-masing akan bermula di petak kedua dan ketiga selepas mencatat 2:20.755s dan 2:21.383s. -- BERNAMA
#Grand Prix Motosikal Malaysia #Hafizh Syahrin Abdullah #Petronas AHM Malaysia #petronas raceline malaysia #ramdan rosli
;