Ramai menanti Johor DT lwn Selangor

Astro Awani
April 5, 2013 18:09 MYT
Saingan bakal diteruskan malam Sabtu dengan perlawanan peringkat suku akhir pertama membabitkan pasukan harimau selatan, Johor Darul Takzim menentang Selangor.
Kisah di luar padang bagaimanapun lebih mewarnai pertemuan Johor DT dan Selangor di Larkin nanti, berikutan keputusan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan selaku presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Selain itu terdapat juga laporan mengenai pemain import, Daniel Guiza bakal meninggalkan pasukan itu sebaik sahaja tempoh perpindahan pemain dibuka.
Walaubagaimanapun, Johor DT pastinya ingin menebus kehampaan dimalukan gergasi merah dengan kekalahan 1-4 di Shah Alam pada saingan liga super tempoh hari.
Sementara itu, Selangor dihambat dengan jadual padat susulan komitmen mereka dalam saingan Piala AFC.
Tewas kepada kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh di tempat lawan, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim ini hanya mempunyai tempoh dua hari bagi mempersiapkan pasukan.
Juara bertahan, Kelantan pula menanti kunjungan Sarawak di Kota Bharu.
Berbekalkan kemenangan besar 5-0 ke atas SHB Da Nang dalam saingan Piala AFC, skuad kendalian Bojan Hodak ini pastinya akan turun dengan penuh semangat.
Apatah lagi rekod tanpa kalah di laman sendiri pastinya ingin dikekalkan skuad The Red Warriors dalam pertemuan ini nanti.
Manakala Sarawak menyandarkan kepada tempoh rehat panjang bagi membariskan kesebelasan terbaik.
Pasukan bimbingan Robert Alberts itu bakal turun sebagai ‘underdog’ namun pastinya mensasarkan keputusan positif untuk dibawa pulang ke Kuching.
Johor Darul Takzim akan tampil dengan skuad berbeza kali ini, itu yang dilaungkan kaptennya, Safiq Rahim kepada lawan Johor DTdi suku akhir Piala FA, Selangor, malam esok.
Johor DT diaibkan Selangor 1-4 pada pertemuan liga super di Stadium Shah Alam, tempoh hari.
Kekalahan tersebut telah mengundang isu kontroversi membabitkan pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Kuala Selangor itu.
Safiq dikatakan mencetuskan pergaduhan dengan pegawai Johor DT di bilik persalinan pasukan selepas perlawanan, Safiq bagaimanapun menganggap ia sebagai sejarah yang tidak perlu diungkit kembali.
Safiq yang dipilih sebagai pemain tengah terbaik AFF 2012 lebih memikirkan mengenai misi balas dendam Johor DT ke atas Red Giants, ketika ini.
Dalam pada itu, Safiq enggan mengulas lanjut berhubung peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden PBNJ.
Bagaimanapun, ketua pasukan Johor DT itu menegaskan perkhabaran itu tidak menjejaskan tumpuan para pemain untuk menghadapi aksi getir dengan Selangor, Sabtu ini.
#Johor DT #Piala FA #Safiq Rahim #Selangor
;