Ramai atlet Karate mampu isi ranking 10 terbaik dunia
Bernama
Januari 19, 2018 04:00 MYT
Januari 19, 2018 04:00 MYT
Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) optimis lebih ramai atletnya bakal mengisi kedudukan 10 terbaik dunia dalam pelbagai kategori.
Setiausaha Kehormatnya, Vincent Chen berkata, setakat ini, Malaysia sudah memiliki tiga atlet dalam kelompok 10 terbaik iaitu Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam kategori Kumite, serta Lim Chee Wei dan Celine Lee Xin Yi (kategori Kata).
Menurut beliau, atlet juga perlu berada dalam senarai 100 terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan ketika ini, Malaysia mempunyai empat lagi wakil yang menduduki ranking berkenaan seperti S Shree Sharmini, S Senthil Kumaran, R Sharmendran, S Prem Kumar bagi kategori Kumite.
"Atlet kita kesemuanya berada di kelompok 50 terbaik. Namun ia belum melegakan kami sebab sasaran utama adalah untuk berada dalam senarai 10 terbaik.
"Mereka yang lain berada di kedudukan 11 hingga 30. Dalam tempoh dua tahun menjelang Olimpik Tokyo, kami yakin akan ada ramai lagi atlet yang akan mengikuti jejak langkah tiga atlet tadi," katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja acara di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, pada Jumaat.
Sukan karate menjadi antara prospek selain berbasikal dan badminton bagi Malaysia meraih pingat di dalam Sukan Olimpik Tokyo.
Ketika ini, sandaran itu, tentunya tertumpu kepada Syakilla, yang menunjukkan prestasi terbaik dengan muncul naib juara dunia di Jerman pada 2014 iaitu beberapa bulan selepas memenangi pingat emas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
Susulan itu, Vincent berkata, Makaf telah merangka strategi untuk mengukuhkan keupayaan atlet karate dalam tempoh dua tahun menjelang temasya terbesar di dunia itu.
-- BERNAMA
#atlet
#karate
#makaf
#Malaysia
#Olimpik
#Persekutuan Karate Malaysia
#Sukan Olimpik Tokyo
#terbaik
#Tokyo
#Vincent Chen