Rali kereta Asean-India diberi sambutan rasmi

Bernama
Disember 22, 2012 10:35 MYT
Rali Kereta Asean-India yang bermula dari Yogyakarta, Indonesia pada 26 Nov, dengan upacara pelepasan rasmi di Singapura, diberikan sambutan rasmi oleh pemimpin-pemimpin India dan Asean di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis itu yang berlangsung di depan bangunan Vigyan Bhawan, di Jalan Maulanan Azad di New Delhi.
Rali itu disertai 31 kereta dan 116 peserta dari 11 negara yang merentasi lapan daripada 10 negara Asean, meliputi jarak 8,000km sebelum mengakhiri perjalanan di New Delhi, India.
Mereka tiba di Guwahati, Assam pada Isnin, destinasi terakhir rali itu selepas perjalanan selama 22 hari.
Najib dalam ucapannya pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India 2012 pada Khamis berkata rali itu adalah contoh baik dalam usaha mengeratkan hubungan antara rakyat dengan rakyat.
Beliau percaya dalam waktu terdekat cara seumpama itu tidak lagi sesuatu yang luar biasa tetapi akan menjadi satu kebiasaan antara rakyat negara Asean dan India.
Sidang kemuncak itu yang diadakan bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-20 Hubungan Dailog Asean-India berakhir pada Jumaat dengan upacara sambutan rasmi peserta rali itu dan majlis makan tengah hari perpisahan yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh.
Dalam Pernyataan Visi yang diterima pakai pada sidang kemuncak itu pada Khamis, Asean dan India komited untuk membantu dalam menyiapkan projek lebuh raya merentasi tiga negara iaitu India-Myanmar-Thailand dan disambung ke Laos dan Kemboja dan projek lebuh raya baharu menghubungkan India-Myanmar-Laos-Vietnam-Kemboja.
#Delhi #najib #Rali Asean #Yogyakarta
;