Rakyat Malaysia tidak puas hati pingat emas Ziyad dibatalkan

Bernama
Ogos 31, 2021 05:28 MYT
Muhammad Ziyad beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, 31 Ogos 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terus 'bersuara' melahirkan rasa tidak puas hati susulan keputusan kemenangan atlet negara Muhammad Ziyad Zolkepli dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Sukan Paralimpik Tokyo semalam dibatalkan.
Keputusan di laman Paralimpik Tokyo yang mengumumkan atlet dari Ukraine Maksym Koval sebagai pemenang mendapat reaksi balas daripada pengguna media sosial dari seluruh dunia.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara yang terawal melahir rasa tidak puas hati apabila menerusi Twitter rasminya.
"KSU (Ketua Setiausaha) KBS bersama CDM (Chef de Mission) berada di lapangan. Protes Ukraine terhadap tiga negara amat lemah. Ketiga-tiga (negara) sedang counter protest (kemukakan bantahan balas). Doakan.
"Protes daripada Ukraine masih diterima. Counter protest daripada tiga negara akan dibawa ke mesyuarat CDM esok pagi. Kita pertahankan! Mohon doa rakyat Malaysia," katanya.
Selain itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut meluahkan rasa kecewa mengenai keputusan itu dengan membalas tweet keputusan tersebut.
"Ini adalah keputusan yang memalukan. Keaiban mutlak yang bertentangan dengan semangat Paralimpik. Sekiranya itu adalah pelanggaran terhadap isu memasuki bilik menunggu, anda seharusnya sejak dari awal lagi tidak membenarkan mereka bertanding. Ternyata berniat jahat dan kejam. Mencuri pingat emas dan catatan rekod dunia," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Perkara itu turut mendapat reaksi seorang lagi bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Keputusan memalukan dan mengecewakan. Mengapa anda membenarkan Ziyad untuk bertanding setelah mendakwa beliau melanggar peraturan bilik persalinan? Ini tidak boleh diterima," katanya.
Beberapa atlet Olimpik negara turut meluahkan kekesalan mereka mengenai kontroversi itu termasuk atlet terjun negara Pandalela Rinong.
"Apa sahaja boleh berlaku dalam sukan, tetapi isu ini paling mengejutkan dan membuatkan saya terkedu. #staystrongZiyad," ciap beliau malam tadi.
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Bantahan Malaysia dibawa ke mesyuarat CDM pagi esok - Ahmad Faizal
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Malaysia rayu keputusan lontar peluru F20 kepada IPC, WPA pada Rabu
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Protes atlet Ukraine, Ziyad terlepas pingat emas
Rata-rata pengguna Twitter meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Jawatankuasa Paralimpik serta sikap kem Ukraine hingga menyebabkan kemenangan emas Ziyad terbatal walaupun memecahkan rekod dunia.
"Dalam Sukan Olimpik # Tokyo2020, kami menyaksikan sikap yang hebat ketika Qatar Itali berkongsi pingat emas tetapi di #Paralimpik, kami melihat protes menjijikkan dari #UKR (Ukraine) setelah mereka menyedari bahawa atlet mereka tidak dapat menandingi Ziyad. Keputusan terkeji oleh penganjur,” kata pengguna Twitter @mumuedstar.
"Sekiranya pembatalan adalah muktamad, ia memalukan buat Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, terhadap Penganjur Paralimpik Tokyo dan Pasukan Ukraine. Mengapa dibenarkan untuk bertanding pada awalnya? Adakah ia akan mempengaruhi prestasi seseorang? 4 lontaran Ziyad adalah lebih jauh berbanding pemenang tempat ke-2," kata pengguna Twitter @riznal.
"Kalian membenaarkan beliau memasuki lapangan. Beliau telah memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter. Beliau secara adil memenangi pingat emas pingat. Tetapi anda membatalkan penyertaannya hanya setelah pertandingan berakhir? Ini ternyata tidak masuk akal. Ziyad berhak mendapat lebih baik daripada semua ini," kata pengguna Twitter @khrnkat.
Lewat petang Selasa, Muhammad Ziyad dilaporkan telah memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru kategori F20 dengan catatan 17.94 meter menerusi lontaran ketiganya, sekali gus menyumbangkan pingat emas kedua buat Malaysia.
Bagaimanapun, kemenangan itu dibatalkan selepas protes oleh kem Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad itu tidak berada di bilik menunggu yang membolehkan atlet terbabit berjaya meraih emas bagi acara itu.
-- BERNAMA
#Ziyad Zolkepli #pingat emas ditarik #Sukan Paralimpik Tokyo 2020 #rakyat Malaysia tidak puas hati
;