Rajagobal puji aksi Harimau Malaya walaupun gagal sekat Barcelona
Bernama
Ogos 11, 2013 10:23 MYT
Ogos 11, 2013 10:23 MYT
Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal memuji corak permainan yang ditunjukkan anak didiknya walaupun skuad Harimau Malaysia kalah 3-1 kepada kelab sensasi Sepanyol, Barcelona FC di sini semalam.
Beliau berkata skuad negara telah banyak belajar daripada kesilapan ketika kunjungan ke Jepun baru-baru ini untuk menampilkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan persahabatan antarabangsa itu di Stadium Shah Alam.
"Peningkatan prestasi skuad dapat dilihat melalui jaringan tunggal Amri Yahyah padfa min it ke-40 selepas ketinggalan satu gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Tiga gol Barcelona FC dijaringkan menerusi pemain tengah Cesc Fabregas pada minit ke-34, Neymar (minit ke-42) dan Gerard Pique pada minit ke-74.
Pandangan Rajagobal turut dikongsi pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal walaupun berdepan dengan antara pasukan bola sepak terbaik dunia.
"Saya rasa semua orang telah melihat cara kita bermain...kita dapat menampilkan persembahan baik tanpa gentar pemain lawan bertaraf dunia," katanya.
Sementara itu, Amri nyata begitu teruja dan gembira dengan gol yang dijaringkannya untuk skuad Harimau Malaya.
"Alhamdulillah saya dapat menjaringkan satu gol untuk pasukan kebangsaan. Walaupun kalah, saya bangga dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan pada perlawanan ini," kata perancang tengah pasukan Selangor itu.