Rajagobal perlu tingkatkan permainan skuad negara

Bernama
Mac 21, 2013 23:28 MYT
Jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal harus membuat sesuatu terutama dalam menghadapi Yemen pada saingan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Shah Alam malam esok.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Rajagobal kena buat sesuatu agar pasukan negara mampu meraih kemenangan terutama beraksi di gelanggang sendiri.
"Kekuatan permainan bola sepak bergantung kuat kepada penyokong. Jika permainan tidak meningkat dan sering kecundang, ia akan membuatkan penonton tidak akan ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.
"Skuad kebangsaan tidak boleh lagi kecundang atau menerima keputusan yang statik kerana ia boleh mematahkan semangat penonton untuk memberi sokongan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sepetang bersama warga pendidik daerah Kemaman, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata perlawanan dengan Yemen itu penting kerana selain untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D, ia juga menentukan ranking bola sepak dunia di mana Malaysia kini berada di tangga ke 164 manakala Yemen di tangga ke 170.
#Datuk K. Rajagobal #Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek #harimau Malaya #Piala Asia 2015
;