Datuk K. Rajagobal kekal meneruskan khidmat sebagai ketua jurulatih skuad senior kebangsaan.

Keputusan itu dicapai selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM yang bersidang pada Rabu memutuskan Rajagobal tidak bersalah atas pertuduhan melanggar dasar badan induk itu.

Dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak, mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam itu mencapai kata putus bahawa tiada kenyataan berunsurkan negatif kepada FAM dilontarkan pengendali berusia 57 tahun itu ketika sidang media selepas perlawanan Malaysia menentang Arab saudi, 17 Mac lalu.

"Mesyuarat hari ini memutuskan Rajagobal tidak bersalah dan kami berpuas hati bahawa Rajagobal tidak pernah membuat kenyataan sedemikian." jelas Taufek.

Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan memperhalusi pita rakaman bagi bahan bukti Rajagobal yang mengandungi kenyataan tersebut.

"Rajagobal tidak menyentuh perkara melibatkan polisi dan dasar pemain import." tambahnya lagi.

Rajagobal didakwa atas perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai pengambilan pemain import dalam Liga Malaysia yang menjejaskan kualiti pemain tempatan.

Sementara itu, Rajagobal enggan beri reaksi lanjut berhubung keputusan yang memihaknya itu.