Raih pingat emas Sukan SEA adalah keutamaan - Van Huizen
Bernama
Jun 28, 2017 08:41 MYT
Jun 28, 2017 08:41 MYT
Selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki di Bhubaneswar, India pada Disember tahun depan, pasukan hoki negara kini bersiap sedia untuk menghadapi Sukan SEA Ke-29 dari 19-30 Ogos dan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, dijadualkan pada 14-22 Okt.
Skuad hoki kebangsaan layak ke Piala Dunia selepas menduduki tempat keempat teratas Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London.
"Susulan kejayaan secara automatik ke Piala Dunia, Piala Asia bukan lagi keutamaan untuk menang. (Juara Piala Asia selaku juara benua layak secara automatik ke Piala Dunia) . Kami akan melihat dari semua segi yang kami bersedia untuk menghadapi Sukan SEA.
"Memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah keutamaan," kata jurulatih skuad negara Stephen van Huizen kepada pemberita sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa.
Menurut Van Huizen beliau akan melakukan bedah siasat dalam masa dua minggu mengenai prestasi skuad kebangsaan di Liga Hoki Dunia.
Van Huizen berkata pemilihan untuk skuad Sukan SEA tidak akan melibatkan kesemua 18 pemain yang bermain di London.
"Kami mempunyai 40 pemain dan kami tidak hanya bergantung kepada 18 pemain ini yang mewakili Malaysia di London. Kami tidak mahu memberi tekanan kepada mereka. Mereka telah bekerja keras dan mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta mereka sangat letih dari segi fizikal dan mental.
"Sebahagian daripada mereka terpaksa melupakan pengajian mereka bagi persiapan Liga Hoki Dunia. Kami akan menggilirkan mereka dan menyiapkan mereka untuk menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan," katanya.
Untuk tahun depan, Piala Dunia bukan satu-satunya keutamaan tetapi juga Sukan Komanwel pada April yang menawarkan slot automatik, diikuti Sukan Asia pada Ogos, yang turut menjadi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selepas Liga Hoki Dunia, Van Huizen mengakui banyak kerja yang harus dilakukan untuk mengekalkan prestasi pemain dan menjadi antara pasukan terkuat di rantau Asia.
Beliau berkata kekuatan pasukan di rantau Asia tidak jauh berbeza dan keenam-enam negara berupaya memenangi Piala Asia, dan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Persaingan antara pasukan Asia sangat sengit dan skuad Malaysia mesti lebih bersedia, mengekalkan prestasi dan keyakinan mereka serta sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan. - BERNAMA
#Asia
#Bangladesh
#KLIA
#Kuala Lumpur
#Liga Hoki Dunia
#London
#Malaysia
#Olimpik
#Piala Dunia
#Sukan Olimpik Tokyo 2020
#Sukan SEA
#Tokyo 2020
#Van Huizen