Ragbi Malaysia intai khidmat tiga pemain naturalisasi
Bernama
Februari 28, 2025 06:15 MYT
Februari 28, 2025 06:15 MYT
Tiga pemain yang dikenal pasti itu ialah Sakiusa Gavidi, Timoci Vunimoko dan Etonia Saukuru dari Fiji. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ragbi Malaysia kini dalam proses mendapatkan tiga pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad 15 sebelah kebangsaan menjelang aksi playoff Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2025 menentang Sri Lanka pada 19 April ini.
Presiden Ragbi Malaysia Amir Amri Mohamad berkata tiga pemain yang dikenal pasti itu ialah Sakiusa Gavidi, Timoci Vunimoko dan Etonia Saukuru dari Fiji.
"Buat masa ini memang kita masih dalam proses perbincangan bersama kelab mereka (pemain naturalisasi) dan bila tarikh yang sesuai untuk kelab itu melepaskan pemain berkenaan.
"Jadi saya harap kita dapat menggunakan khidmat mereka menjelang aksi playoff ARC 2025 sebab perlawanan itu penting untuk menentukan kedudukan dalam Divisyen Premier tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman penajaan bersama syarikat pengeluar pakaian sukan tempatan Kakijersi sebagai penaja utama jersi pasukan kebangsaan bagi tahun 2025-2027.
"Menerusi penajaan itu, Kakijersi akan menyediakan pakaian berkualiti tinggi yang direka khusus untuk atlet ragbi Malaysia bagi skuad senior dan remaja melibatkan pasukan lelaki dan wanita 15 sebelah dan 7 sebelah," katanya.
Amir Amri berkata ia adalah satu perkembangan positif dan berharap penajaan itu sedikit sebanyak dapat membantu prestasi pasukan ragbi negara menghadapi kejohanan antarabangsa terutama menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.
-- BERNAMA