Rafael Nadal tarik diri daripada Wimbledon, Olimpik Tokyo

Agensi
Jun 17, 2021 21:38 MYT
Rafael Nadal mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan Wimbledon dan Olimpik Tokyo. - Gambar fail/AP
RAFAEL Nadal mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan Wimbledon dan Olimpik Tokyo selepas berunding dengan pasukannya dalam usaha untuk memanjangkan kariernya.
Pemain Sepanyol berusia 35 tahun itu mengatakan jarak dua minggu antara Terbuka Perancis dan Wimbledon yang bermula pada 28 Jun itu tidak mencukupi baginya untuk pulih dan berehat dari kepenatan setelah bermain di gelanggang tanah liat itu.
"Saya telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam kejohanan tahun ini di Wimbledon dan Sukan Olimpik di Tokyo," kata Nadal, yang pernah menjuarai kejohanan Wimbledon sebanyak dua kali itu, di laman Twitternya.
"Ini bukan keputusan yang mudah tetapi selepas mendengar ‘kata-kata’ tubuh saya dan berbincang dengan pasukan, saya kira ini adalah keputusan yang tepat.”
Sebagai rekod, Nadal pernah menjulang gelaran Grand Slam sebanyak 20 kali, termasuk 13 kali di Roland Garros (Terbuka Perancis).
Bagaimanapun, untuk kejohanan Terbuka Perancis tahun ini, dia tewas kepada pemain nombor satu dunia, Novac Djokovic dalam aksi separuh akhir.
Selain itu, Nadal juga pernah memenangi dua pingat emas di Temasya Sukan Olimpik iaitu untuk perseorangan pada tahun 2008 di Beijing dan beregu pada tahun 2016 Rio.
#Rafael Nadal #Rafa Nadal #Wimbledon #Olimpik Tokyo #tenis #sepanyol #Terbuka Perancis
;