Rafael Nadal mendakwa beraksi dalam kesakitan

Astro Awani
Februari 18, 2013 19:40 MYT
Pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengakui masih beraksi dalam kesakitan ketika menjuarai Terbuka Brazil tempoh hari.
Namun pemain berusia 26 tahun itu menganggap ianya satu cabaran bagi memastikannya dapat mencapai tahap kecergasan tertinggi.
Bekas pemain nombor satu dunia itu membuat kemunculan di Amerika Selatan, mengambil bahagian dalam kejohanan terbuka VTR Chile dan Terbuka Brazil.
Menduduki ranking kelima dunia, Nadal dalam proses pemulihan kecederaan tendon lutut kiri.
Dengan reputasi sebagai juara 11 kali Grand Slam, Nadal berpandangan saingan yang disertainya memberikan peluang terbaik untuk menilai sejauh mana kemampuannya beraksi di tahap tertinggi.
Nadal sebelum itu menarik diri dari saingan beregu bagi membolehkannya memberi sepenuh tumpuan dalam acara perseorangan.
Pada aksi final, Nadal menewaskan David Nalbandian untuk meraih gelaran ke-51 dalam kerjayanya.
Nadal akan beraksi dalam satu lagi kejohanan gelanggang tanah liat di Mexico dalam tempoh dua minggu lagi.
#kecederaan #Rafael Nadal #Terbuka Brazil
;