Rafael Nadal juara Terbuka Perancis

Astro Awani
Jun 9, 2014 10:45 MYT
Pemain tennis Sepanyol, Rafael Nadal - Gambar fail
Rafael Nadal sekali lagi memusnahkan harapan Novak Djokovic di final Terbuka Perancis dan meraih gelaran juara buat kali kesembilan.
Dengan kemenangan ini, pemain Sepanyol itu memecah rekod kemenangan lima kali berturut-turut di Roland Garros.
Pemain berusia 28 tahun itu dilihat mampu bermain dengan baik dalam cuaca panas sehingga membawa kemenangan 3-6, 7-5, 6-2, 6-4 dalam tempoh 3 jam 31 minit.
Nadal merupakan pemain pertama dunia yang memenangi kejuaraan ini sebanyak sembilan kali, sekaligus merangkul kemenangan Grand Slam sebanyak 14 kali.
Kemenangan ini membuatkan Nadal kekal di tangga nombor satu dunia manakala Djokovic di tangga kedua.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut Nadal memadamkan harapan pemain dari Serbia itu untuk memenangi satu-satunya kejuaraan Grand Slam yang belum lagi pernah dimiliknya.
#Novak Djokovic #Rafael Nadal #Terbuka Perancis
;