Raducanu bakal terlepas peluang beraksi di Terbuka Perancis dan Wimbledon

Bernama
Mei 4, 2023 13:30 MYT
Bintang tenis Britain itu mara pusingan keempat dalam kejohanan pertamanya di Wimbledon 2021, seterusnya mengejutkan dunia dengan merangkul gelaran Terbuka AS pada tahun yang sama. - Gambar/ Instagram @Emma Raducan
LONDON: Juara perseorangan wanita Terbuka AS 2021, Emma Raducanu dijangka terlepas semua acara musim panas ini termasuk Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon, lapor Xinhua.
Raducanu, 20, menyiarkan foto dirinya di atas katil hospital beserta surat tulisan tangan di media sosial pada Rabu, seminggu selepas dia menarik diri daripada Terbuka Madrid selepas mengalami kecederaan di tangan.
"...10 bulan terakhir adalah sukar kerana saya mengalami kecederaan berterusan pada tulang di kedua-dua tangan.
"Saya cuba sedaya upaya mengharungi kesakitan hampir sepanjang tahun ini dan penghujung tahun lalu dengan mengurangkan beban latihan secara mendadak, tidak menjalani latihan selama beberapa minggu untuk cuba memulihkannya. Malangnya, ia tidak cukup.
"Dukacita dimaklumkan bahawa saya akan keluar dalam beberapa bulan akan datang, dan sepanjang tempoh itu, saya perlu menjalani satu lagi prosedur kecil pada buku lali saya.
"Saya sedih kerana saya akan terlepas acara musim panas, ... jadi saya berterima kasih kepada semua peminat yang terus menyokong saya meskipun anda tidak mengetahui faktanya," kata Raducanu menerusi surat itu.
Bintang tenis Britain itu mara pusingan keempat dalam kejohanan pertamanya di Wimbledon 2021, seterusnya mengejutkan dunia dengan merangkul gelaran Terbuka AS pada tahun yang sama.
--BERNAMA-XINHUA
#Emma Raducanu #tenis #Terbuka Perancis #kecederaan
;