R. Sharmendran sifatkan final Sukan SEA 2023 paling sukar

Bernama
Mei 7, 2023 21:39 MYT
Sharmendran turut mengakui perlawanan akhir kali ini merupakan paling sengit apabila perlu berlawan dengan atlet generasi muda. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jaguh karate negara R. Sharmendran menyifatkan final Sukan SEA 2023 adalah yang paling sukar selepas menggondol pingat emas acara kumite individu lelaki bawah 75 kilogram (kg) di sukan SEA hari ini.
Sharmendran turut mengakui perlawanan akhir kali ini merupakan paling sengit apabila perlu berlawan dengan atlet generasi muda.
“Ya final paling sengit kerana generasi muda sedang meningkat naik, mereka hampir menewaskan saya, ia bukan mudah. Pesaing sekarang sangat sukar dan saya tahu pertandingan ini akan menjadi sangat sukar dan saya pun sudah tua, tak laju lagi.
“Tetapi kejayaan ini adalah ibarat kerja keras yang membuahkan hasil. Jika kita buat kerja dengan betul kita akan dapat (kejayaan),” katanya ketika ditemui media tempatan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pembawa jalur gemilang berusia 31 tahun ini memaklumkan masa akan menentukan sama ada edisi kali ni bakal menjadi penampilan terakhir di Sukan SEA.
Tambah beliau, pengalaman berlatih, ditumbuk, berpeluh dan mengalami kecederaan merupakan pengalaman yang amat berharga dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Ini merupakan emas keempat berturut-turut Sharmendran dalam kategori bawah 75kg selepas edisi 2017 di Kuala Lumpur; edisi 2019 di Manila, Filipina dan edisi 2021 di Hanoi.
Pada penampilan pertamanya pada edisi 2013 di Myanmar, Sharmendran sekadar merangkul perak kumite individu lelaki bawah 67kg sebelum karate tidak dipertandingkan pada edisi 2015 di Singapura.
#Sukan SEA #Jalur Gemilang #Juara Karate Negara #r sharmendran
;