Queenie raih emas di Kejohanan Olahraga IPT 2023
Bernama
November 17, 2023 20:10 MYT
November 17, 2023 20:10 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera wanita Queenie Ting Kung Ni menutup musim ini dengan satu lagi pencapaian cemerlang selepas merangkul emas acara lempar cakera pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu, Queenie mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara setelah melakukan lemparan terbaik sejauh 41.29 meter (m) pada percubaan kelima menewaskan tujuh lagi atlet bertanding.
Atlet berusia 25 tahun yang juga pemegang rekod kebangsaan, sebelum itu melakukan lemparan sejauh 41.25m pada percubaan pertama dan 40.49m pada percubaan terakhir tanpa digugat atlet lain.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Queenie mempertahankan pingat emas acara itu yang dimenanginya pada edisi lepas.
"Ikutkan sekarang ini saya tengah 'off season' (luar musim), jadi saya nak habiskan tanggungjawab dengan menyertai kejohanan ini dan membawa nama UPM.
"Rasa sangat gembira juga sebab dapat pertahankan emas sebelum ini," katanya kepada pemberita.
Pingat perak diraih Nani Sahirah Maryata yang turut mewakili UPM dengan catatan 36.65m, sementara gangsa diraih Nor Syazwani Rosman mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan lemparan 33.84m.
-- BERNAMA