Quartararo, Morbidelli menguasai hari pertama ujian pramusim MotoGP di Litar Sepang
Bernama
Februari 7, 2020 07:57 MYT
Februari 7, 2020 07:57 MYT
Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli menguasai kedudukan teratas pada hari pertama sesi ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada Jumaat.
Menurut kenyataan pasukan itu, Quartararo melakukan 52 pusingan dan mencatatkan masa terpantas 1 minit 58.945 saat (s) sepusingan manakala Morbidelli hanya ketinggalan 0.051s dan pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins mencatatkan masa ketiga terpantas dengan 1:59.195s.
Dalam saingan musim lalu, Quartarao menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengumpul 192 mata.
Pelumba berusia 21 tahun itu mendapat tempat kedua di Grand Prix (GP) Catalan, GP Belanda (3), GP Austria (3), GP San Marino (2), GP Thailand (2), GP Jepun (2) dan GP Valencia (2).
"Saya rasa bersemangat selepas hampir tiga bulan tidak turun ke litar. Hari ini (Jumaat) hanya membiasakan diri menunggang jentera MotoGP.
"Kami guna jentera versi tahun lalu hanya untuk melakukan beberapa pusingan dan pada awal sesi, berjaya melakukan catatan masa terbaik dengan tayar pertengahan.
"Kami berharap cuaca lebih baik esok (Sabtu) supaya dapat berusaha dengan lebih dan tidak sabar untuk melihat hasil pertama jentera baharu. Semua pelumba bermula dengan jentera baharu dan ia tidak mudah untuk mereka," kata Quartararo.
Pelumba Perancis itu dijangka menggunakan jentera baharu, Yamaha YZR-M1 berspesifikasi A bagi musim ini.
Dalam pada itu, Mordebidelli berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan program ujian hari pertama dan akan cuba melakukan beberapa perkara kecil untuk menyesuaikan diri dengan jentera hari ini.
"Kami agak pantas ketika laluan lurus dan itu tanda positif yang kami mahukan," katanya
Sesi ujian pramusim di litar tersebut akan disambung mulai jam 10 pagi ini hingga jam 6 petang sebelum sesi berkenaan berakhir pada Ahad ini.
-- BERNAMA
#Alex Rins
#fabio quartararo
#franco morbidelli
#jentera baharu
#Litar Antarabangsa Sepang
#MotoGP
#pelumba
#Petronas
#Sepang
#Sepang Racing Team
#SIC
#Team Suzuki Ecstar
#ujian pramusim
#Yamaha