Qabil tidak bercadang bersaing pada Olimpik 2024
Bernama
November 9, 2023 04:45 MYT
November 9, 2023 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet ekuestrian negara Qabil Ambak Mahamad Fathil menjelaskan, persediaannya ke Sukan Asia Hangzhou 2022, yang berlangsung bermula 23 Sept hingga 8 Okt lepas, menyebabkan beliau tidak dapat memberikan tumpuan untuk kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 43 tahun itu yang meraih emas acara dressage individu di Hangzhou, China berkata latihan rapi dan fokus terhadap temasya itu, menyebabkan beliau terlepas kebanyakan kejohanan kelayakan yang berlangsung dari awal tahun ini.
"Banyak pertandingan saya terlepas dan untuk mengejarnya agak sukar, jadi saya putuskan untuk memberi tumpuan dalam Sukan Asia berbanding Olimpik tetapi insya-Allah kalau ada sokongan dan bantuan untuk Olimpik seterusnya, saya boleh," katanya ketika ditemui pemberita, pada Rabu.
Atlet yang berpengalaman luas selama 28 tahun dalam sukan berkuda itu, berkata perihal keluarga dan juga kos untuk membeli kuda yang tinggi, turut menjadi antara faktor beliau masih belum bercadang untuk bersaing pada Sukan Olimpik itu.
Qabil yang merangkul emas bersama kudanya, Rosenstolz selepas mencatatkan 75.780 mata di Sukan Asia, telah menerima RM5,000 daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk kejayaan itu, pada Rabu.
Sementara itu, Qabil, yang memberi bayangan untuk bersara namun tidak menjelaskannya lebih lanjut, turut memberi petua kepada bakat muda dalam sukan tersebut untuk mencipta kejayaan sepertinya.
"Saya rasa atlet muda harus sanggup berkorban masa, tenaga juga wang ringgit untuk negara, pengorbanannya agak besarlah sebagai atlet. Separuh daripada hayat saya, dihabiskan dalam sukan ini dan saya fikir ia adalah perjalanan yang panjang dan sukar tapi akhirnya anda akan rasa berbaloi dengan kemenangan pingat emas ini.
"Saya rasa ini satu kenangan yang saya tidak boleh lupakan kerana berupaya untuk menyumbang kepada negara dan mewakili Malaysia," katanya yang bangga dapat bertanding mewakili negara sejak 1995.
Dalam pada itu, Qabil menyifatkan kuda tunggangannya Rosenstolz yang kini telah 'bersara', banyak berjasa terhadap beliau dan adiknya Quzandria Nur dalam memenangi pingat emas dan gangsa dalam beberapa siri Sukan SEA dan Sukan Asia.
"Sukan Asia itu adalah pertandingan terakhir dan saya rasa ia adalah pengakhiran yang baik baginya, kini ia menikmati persaraan yang bagus di Eropah.
"Saya rasa kuda itu banyak menyumbang bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk negara, jadi saya fikir sudah tiba masanya disebabkan faktor umur untuk ia berehat dan bersara. Tidak bagus untuk terus menekannya, ia telah banyak berjasa," katanya sambil menghargai keserasian beliau dan adiknya bersama kuda itu sehingga kini.
Menurutnya, keserasian bersama kuda amat penting untuk mencipta kejayaan dalam sukan itu dan ia memerlukan kerjasama penunggang, jurulatih, doktor haiwan dan penjaga kuda untuk merealisasikannya.
-- BERNAMA